16 Januari 2016 – Seramai 52 orang ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia cawangan Johor Darul Takzim (PSSCMCJDT) menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1437 hijrah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Peringkat Kebangsaan di Dewan Datuk Haji Maideen, Negeri Sembilan hari ini.

Semua kelas latihan cawangan Johor yang terdiri daripada Kelas Taman Kemas, Kota Tinggi, Pasir Gudang, Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Universiti Teknologi MARA Kampus Pasir Gudang, Universiti Tun Hussein Onn Batu Pahat, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu KKM Kempas dan Politeknik Ibrahim Sultan Pasir Gudang telah menghantar wakilnya untuk bersama-sama semua ahli PSSCM dari seluruh Malaysia bagi meraikan hari yang bersejarah ini.

Ahli-ahli seluruh negara hadir dengan berpakaian rasmi baju melayu biru gelap lengkap dengan samping dan baju kurung biru gelap bagi perempuan seperti yang diwartakan dalam buku 50 Tahun Jubli Emas PSSCM yang masih dirayakan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia pada tahun ini.

Yang DiPertua Cawangan Johor, En Sazali bin Samsudin, Naib Yang DiPertua Cawangan, Tuan Haji Nazid bin Jasiman turun bersama dalam majlis yang bertemakan "Perpaduan Nadi Tranformasi Negara" ini. Seperti tahun-tahun lepas, majlis tidak sempurna jika tidak dimulai dengan bacaan berzanji oleh YM Datuk Guru Utama Haji Maideen Kadir Shah dan ahli-ahli PSSCM dari seluruh cawangan.

Buat pertama kali tahun ini terdapat kumpulan Sa'adatul Ahbab turut bersama bagi menyerikan majlis dengan bacaan qasidah-qasidah memuji Rasulullah. Seterusnya masjlis diteruskan dengan ceramah dari Ustaz Rusli bin Jamaudin, pengetua Maahad Ad-Dirasah Ad-Diniah As-Salamiah, Kedah.

Program ini dilihat berjaya mengumpulkan ahli-ahli PSSCM dari seluruh Malaysia dan menanamkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad S.A.W. selaras dengan panduan al Quran, Hadith, Qias dan Ijmak ulamak. Program ini juga menepati peranan PSSCM dalam keperluan kepada masyarakat kini dengan menghidupkan kembali budaya dan adat orang Melayu beragama Islam yang telah lama bertapak di alam Melayu. Terdahulu, silat telah diistiharkan sebagai seni mempertahankan dari rasmi negara Malaysia oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 18 September dan ini merupakan satu lembaran baru dalam perjuangan seni silat dalam memartabatkannya sebagai sebuah institusi yang penting dalam pembangunan modal insan yang berkualiti. Ini menunjukkan bahawa seni silat telah diangkat ke tempat yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

PSSCMCJDT juga sedang giat melakukan Kempen Pengambilan Ahli Baru bagi sepanjang tahun 2016. Rakyat Johor digalakkan untuk menyertai PSSCMCJDT dan mempelajari Seni Silat Cekak Malaysia sehingga tamat dan bersijil. Tempoh pembelajaran mengambil masa lebih kurang 1 tahun. Untuk maklumat lanjut mengenai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Johor Darul Takzim, anda boleh hubungi Encik Heirunnizam Sarian, Ketua Penerangan PSSCMCJDT, di talian 012-473 5645. Layari laman sesawang kami di www.silatcekak.org.my/johor

 

Disediakan oleh Dzulfariz Azman

Joomla templates by a4joomla