Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Johor Darul Takzim (PSSCMCJDT) telah menghadiri Majlis Sambutan Awal Muharam dan Sambutan Hari Tenaga Pengajar yang telah dihadiri oleh tenaga-tenaga pengajar dari seluruh Malaysia. Program ini diadakan di Dewan Datuk Haji Maideen, Negeri Sembilan pada hari ini, 14 Oktober 2015.

Sambutan Hari Tenaga Pengajar ini telah disepakati oleh pentadbir PSSCM untuk diadakan setiap kali Sambutan Awal Muharram. Ini adalah kali ke 27 sejak ia dilaksanakan. Tema bagi sambutan kali ini adalah 'Tenaga Pengajar Berintegriti Tonggak Inovasi PSSCM".

Majlis ini dimulakan dengan Sambutan Awal Muharram disebelah pagi dan disusuli dengan Hari Tenaga Pengajar pada sebelah petang yang meraikan tenaga pengajar yang mempunyai peranan yang semakin berat ini.

Awal Muharam tahun ini seperti biasa disambut dengan alunan bacaan selawat, qasidah dan burdah sebagai tanda rasa kasih kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Turut bersama dalam kumpulan bacaan berzanji dari cawangan Johor Darul Takzim adalah Encik Zulhilmi bin Nasir yang membaca rawi ke 4 bahagian ke 2.

"Kesyukuran yang berganda turut juga kita dirasai pada kali ini apabila PSSCM kini telah menjangkau usia 50 tahun atau Jubli Emas sejak diasaskan oleh YM Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad." kata-kata aluan YM Datuk Haji Maideen Kadir Shah, Guru Utama dan Presiden PSSCM.

 Terdahulu, silat telah diistiharkan sebagai seni mempertahankan dari rasmi negara Malaysia oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 18 September dan ini merupakan satu lembaran baru dalam perjuangan seni silat dalam memartabatkannya sebagai sebuah institusi yang penting dalam pembangunan modal insan yang berkualiti. Ini menunjukkan bahawa seni silat telah diangkat ke tempat yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

PSSCMCJDT mempunyai seramai 66 orang tenaga pengajar termasuk 7 tenaga pengajar baru dilantik. Dengan kekuatan seramai ini telah menggerakkan 8 kelas latihan awam dan IPT iaitu Kelas Latihan Taman Kemas, Kelas Latihan Pasir Gudang, Kelas Latihan Kota Tinggi, Kelas Latihan UTM Skudai, Kelas Latihan Politeknik Ibrahim Sultan, Kelas Latihan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Kelas Latihan UTHM Batu Pahat dan Kelas Latihan UiTM Pasir Gudang.

Sehubungan dengan itu, rakyat Johor digalakkan untuk menyertai PSSCMCJDT dan mempelajari Seni Silat Cekak Malaysia sehingga tamat dan bersijil. Tempoh pembelajaran mengambil masa lebih kurang 1 tahun. Memiliki Sijil Rendah PSSCM merupakan salah satu syarat wajib untuk menjadi tenaga pengajar sebelum dilantik oleh Guru Utama. Promosi pengambilan ahli baru sentiasa dijalankan sepanjang tahun.

Untuk maklumat lanjut mengenai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Johor Darul Takzim, anda boleh hubungi Encik Heirunnizam Sarian, Ketua Penerangan PSSCMCJDT, di talian 012-473 5645. Layari laman sesawang kami di www.silatcekak.org.my/johor

"Adab, adat adalah budaya umat Islam dan budaya itu milik kita."

 

Oleh Dzulfariz Azman

 

* Sekitar suasana Sambutan Maal Hijrah 1437

 

 

Joomla templates by a4joomla