Sejarah Seni Silat Cekak di negeri Johor telah bermula sejak awal tahun 1980an yang dimulakan oleh Sdr. Kamarul Bahraini bin Abd. Latif. Ijazah pertama seramai 20 orang ahli telah berjaya diadakan pada 24hb April 1984 di No 1 Jalan Bayan, Taman Larkin Jaya, Johor Bahru oleh YM Almarhum Ustaz Hj. Hanafi Hj. Ahmad. 

Usaha untuk melihat perkembangan Seni Silat Cekak bertapak dan kekal di bumi Johor diteruskan dengan kegigihan beberapa orang penuntut UTM Skudai yang telah tamat mempelajari Silat Cekak di UTM Jalan Gurney Kuala Lumpur seperti Sdr. Abd. Halim Abd. Razak dan Yusoff Hussein. Mereka telah berjaya mengumpulkan seramai 41 orang ahli baru untuk diijazahkan oleh YM Tn Hj Ishak Itam pada 6hb Oktober 1986 di mana seramai 30 orang telah tamat pada 24hb April 1987. Di atas cadangan YM Guru Utama, pihak AJK Pusat telah melantik Sdr. Mohd Radzi B Hj Hanafi sebagai Penyelia Kelas di Johor Bahru. Pusat pentadbiran Kelas Latihan Johor Bahru yang pertama adalah di No 28, Jalan Kenangan, Kg Melayu Majidee, Johor Bahru. Di sinilah Mesyuarat Agong Cawangan yang pertama diadakan dan sdr. Mohd. Radzi bin Hj Hanafi dilantik sebagai Yg Di Pertua Cawangan Johor yang pertama.

Pada tahun 1988, cawangan ini telah berpindah bagi kali keduanya ke No 5, Jalan Sahabat, Kampung Melayu Majidee seterusnya pada 31hb Ogos 1991, buat kali ketiga PSSCM Cawangan Johor telah berpindah pula ke No 11, Jalan Tenang Off Jalan Kenangan, Kampung Melayu Majidee 81100 Johor Bahru. Pada awal tahun 1993, PSSCM Cawangan Johor berpindah untuk kali yang keempat ke No 10, Jalan Kasawari, Larkin Jaya, 80350 Johor Bahru.

Ketika krisis perpecahan PSSCM pada tahun 1993, akibat dari masalah-masalah pengurusan pentadbiran dan pergerakkan persatuan, PSSCM Cawangan Johor telah dibubarkan pada 28hb Mac 1993.

Setelah hampir 2 tahun PSSCM tidak wujud di negeri Johor, pada tanggal 14hb Februari 1995, jam 8.30 malam bertempat di No 27 Jalan Sri Pelangi, 80400 Johor Bahru, Silat Cekak dilahirkan kembali di bumi Johor Darul Ta’zim. Seramai 13 orang ahli baru telah selamat diijazahkan oleh Yang Mulia Guru Utama Ustaz Tn. Haji Ishak bin Itam. Mereka telah memulakan kelas latihan pada 15hb Februari 1995 atas nama Kelas Latihan Johor Bahru Satu (KLJB1) yang bernaung terus dengan Ibu Pejabat PSSCM. Kelas ini telah diusahakan oleh Saudara Roslizan bin Ahmad Mahidin sejak perpindahannya ke negeri Johor pada 28hb Nov 1994. 

Usaha-usaha untuk memberi penerangan dengan lebih sistematik telah berjaya diatur apabila pada tanggal 15hb Januari 1995, satu demonstrasi sederhana telah diadakan di padang Syarikat Kejuruteraan Kapal Masai, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang. Di majlis tersebut pihak AJK Pusat PSSCM telah menghantar 3 orang AJK serta 35 orang anggota Skuad Demonstrasi Pusat bagi mengadakan demonstrasi yang telah diatur.

AJK Pusat yang telah menghadiri majlis tersebut terdiri daripada Naib Presiden PSSCM Tuan haji Maideen Kadir Shah, saudara Roslin Ali Omar dan Tuan Haji Khamarul Ariffin bin Haji Zainal Abidin. Sementara skuad demonstrasi telah diketuai oleh saudara Jabar bin Hashim dan saudara Ismail bin Hassan. Majlis demonstrasi dan penerangan tersebut telah diresmikan oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Tebrau, Cik Siti Zainab binti Sheik Abu Bakar dan majlis penutupnya telah disempurnakan oleh Speaker ADUN Johor, Tuan Haji Ali bin Hassan.

Hasil daripada majlis demonstrasi tersebut serta usaha-usaha berterusan yang dijalankan oleh ahli-ahli PSSCM yang taat setia maka kelas latihan dapat diujudkan.

Perkembangan Seni Silat Cekak Malaysia di negeri Johor terus menapak kejayaan apabila ahli-ahli lama yang tamat belajar telah muncul kembali bersama-sama aktif dalam memperjuangkan hak warisan mutlak seni budaya bangsa melayu ini. Usaha gigih mereka ini telah mengumpulkan seramai 15 orang ahli lama yang masih taat kepada Guru Utama untuk mengadakan Majlis Perjumpaan dan seterusnya melantik AJK penaja PSSCM Cawangan Johor Darul Ta’zim pada 4hb Jun 1995 bertempat di No 600 Jalan Mohd Ibrahim, Kampung Penggawa Timur Tebrau, 81100 Johor Bahru. Mesyuarat penubuhan cawangan diadakan pada 8hb Oktober 1995 dihadiri seramai 19 orang ahli dengan nama cawangan yang baru iaitu PSSCM Cawangan Johor Darul Ta’zim (PSSCM CJDT) dan bukan lagi PSSCM Cawangan Johor.

Pada pertengahan tahun 1996 hasil sumbangan seorang ahli yang sedang belajar iaitu saudara Mohd Isman, maka sebuah rumah persatuan berjaya didirikan di Jalan Selasih 11, Taman Kemas, Tampoi atas sokongan dan persetujuan Ketua UMNO Taman Kemas iaitu Tn Hj Abdullah. Maka untuk kesekian kalinya PSSCM CJDT berpindah dari Kampung Penggawa Timur ke Ibu Pejabat PSSCM CJDT di Jalan Selasih 11, Taman Kemas, Tampoi. Di sinilah segala aktiviti dirancang dan menjadi titik tolak perkembangan PSSCM CJDT dewasa ini dibawah kepimpinan Datuk Haji Maiden Kadir Shah sebagai Guru Utama dan Presiden PSSCM. 

 

Joomla templates by a4joomla