11 Jun 2017 – Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Johor Darul Takzim (PSSCMCJDT) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Nuzul Al-Quran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Peringkat Negeri Johor Darul Takzim bertempat di Ibu Pejabat PSSCMCJDT, Taman Kemas Tampoi dan telah dihadiri oleh 75 orang ahli.

Majlis telah dimulakan dengan jamuan berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah. Yang Dipertua PSSCMCJDT, Encik Sazali bin Samsudin mengatakan bahawa aktiviti di bulan Ramadan seperti Iftar, solat maghrib, isyak dan terawih berjemaah serta tadarus merupakan aktiviti tahunan PSSCMCJDT sejak 10 tahun yang lalu.

 

Tazkirah Nuzul Al-Quran telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Hakim bin Othman, Penyelaras Biro Agama dan Kerohanian PSSCMCJDT selepas solat maghrib. Tazkirah yang disampaikan menjelaskan Hari Nuzul Al-Quran adalah untuk memperingati sejarah ayat Al-Quran yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W  oleh Malaikat Jibril. Majlis diteruskan lagi dengan solat isyak berjemaah, Solat terawih berjemaah dan Majlis Khatam Al-Quran. Majlis Khatam Al-Quran telah disempurnakan oleh 20 orang qari yang terdiri dari pada ahli PSSCMCJDT. Para qari telah membaca surah-surah bermula dari Juz Amma.

 

Majlis diakhiri dengan sesi penggambaran bagi setiap kelas latihan silat dan rakaman video ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan pada setiap tahun. Ucapan Selamat Hari Raya ditujukan kepada Presiden merangkap Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Yang Mulia Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah dan isteri Datin Firda Sewani binti Abdul Rashid,  Ahli-ahliJawatan kuasa Pusat, Ahli-ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib, pemimpin-pemimpin cawangan negeri dan seluruh Ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.

 

Program seterusnya untuk menyambut bulan Ramadan yang penuh berkah dan membuat persediaan untuk Syawal yang akan kunjung tiba adalah Program Kambing Mantai Aidilfitri. Program ini bertujuan untuk berkongsi sedikit rezeki untuk bekalan Aidilfitri iaitu seekor kambing dibahagikan kepadase puluh bahagian bagi setiap penyertaan dan daging kambing akan diagihkan kepada semua peserta pada 22 Jun 2017 di Ibu Pejabat PSSCMCJDT Taman Kemas. Siri program ihya' Ramadan ini akan diakhiri dengan Program Rewang Aidilfitri pada 30 Jun 2017 (Jumaat) di IbuPejabat PSSCMCJDT Taman Kemas bagi persiapan Juadah Mega Lontong Kering JDT yang akan dibawa pada 8 Julai 2017 untuk Sambutan Hari Raya PSSCM Peringkat Kebangsaan di Dewan Datuk Haji Maideen (DDHM), Ampangan Negeri Sembilan. Objektif Program Rewang Aidilfitri ini adalah untuk menyediakan pes lontong dalam bentuk sejuk beku supaya dapat dimasak semasa Program Sambutan Hari Raya PSSCM nanti.

 

 

Joomla templates by a4joomla