Seni Silat Cekak sehingga kini telah berkembang di seluruh Semenanjung Malaysia dengan jumlah cawangan di 12 buah negeri. Jumlah keahlian adalah seramai kira-kira 80,000 orang dan mempunyai sejumlah 105 buah kelas latihan dengan kekuatan Tenaga Pengajar seramai lebih kurang 700 orang. PSSCM juga telah diterima dengan baik di IPTA dan IPTS seperti UIAM, UUM, USM, UiTM, UPM, UKM, UTM, UPSI serta di kolej-kolej teknikal seperti di UniKL dan Politeknik serta di MRSM dan di sekolah-sekolah. Paling membanggakan juga ialah ianya telah diterima oleh pihak Tentera Laut DiRaja Malaysia dengan tertubuhnya Kelab Silat Cekak TLDM di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. Di samping itu, Silat Cekak telah juga diterima sebagai salah satu daripada aktiviti ko-kurikulum bermata kredit di IPTA seperti di USM dan UUM. 

Di dalam usaha perkembangannya PSSCM telah memperkukuhkan jentera pentadbirannya bersesuaian dengan keperluan semasa dan penggunaan teknologi internet. PSSCM telahpun mempunyai laman webnya sendiri untuk kemudahan orang ramai mendapatkan maklumat berkenaan persatuan ini. Dengan jentera pentadbirannya, PSSCM melangkah maju ke hadapan berusaha untuk mendaulatkan Seni Silat Melayu melalui program pemilikan hartanah samada di peringkat pusat mahupun cawangan-cawangan negeri. 

Sesuai dengan cita-cita PSSCM untuk mendaulatkan Seni Silat Melayu, PSSCM telah bersama-sama terlibat di dalam semua aktiviti Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) serta di dalam setiap program pembangunan negara yang ingin melihat masyarakat Melayu khususnya terus maju dan berjaya dalam semua bidang yang diceburi sebagaimana yang telah disarankan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. PSSCM amat bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan padu daripada kerajaan Malaysia dalam sebarang usaha untuk membasmi budaya kurang sihat melalui program Rakan Muda dan Rakan Wajadiri. Komitmen yang akan terus diberikan oleh PSSCM adalah untuk terus bergiat cergas dalam semua usaha untuk menyeimbangkan pembangunan negara dan pembangunan sosial selaras dengan Dasar Sosial Negara. 

 

sumber : https://www.silatcekak.org.my/index.php/pengenalan

Joomla templates by a4joomla