Sejarah Penubuhan Kelab Seni Silat Cekak Malaysia Politeknik Ibrahim Sultan (KSSCM PIS) Pasir Gudang

 

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia mula bertapak di Politeknik Johor Bahru (PJB) sekitar tahun 1999 dengan usaha Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Johor Darul Takzim (PSSCM CJDT). Majlis Ijazah Asas yang pertama diadakan oleh Yang Mulia Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Yang Mulia Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam bertempat di Kompleks Islam Politeknik Johor Bahru pada tahun 1999. Antara barisan tenaga pengajar di awal perkembangan PSSCM di Politeknik Johor Bahru ini adalah Encik Sazali bin Haji Samsudin, Encik Hashim bin Mohd Nor, Encik Sham bin Mohd Ghani , Tuan Haji Mohd Nazid bin Jasiman, Encik Ramzee bin Abdul Rawi dan Puan Lailati binti Mohd Noh bertempat di Kompleks Sukan Politeknik Johor Bahru. Kelas latihan ini hanya dapat diteruskan sehingga tahun 2001 dan segala aktiviti dihentikan selepas tahun tersebut.

Sungguhpun begitu, dengan usaha beberapa orang ahli PSSCM pada tahun 2010 kelas latihan ini telah dibuka semula dan seramai 43 orang pelajar politeknik ini diijazahkan oleh Yang Mulia Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Yang Mulia Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah bertempat di Ibu Pejabat PSSCM CJDT. Walaubagaimanapun, pada peringkat awal ini aktiviti PSSCM ini hanya dijalankan di bawah matapelajaran ko-kurikulum, AR2001- Kokurikulum 2 (Silat Cekak Malaysia) setelah mendapat kelulusan daripada pihak Pengurusan Tertinggi Politeknik Johor Bahru dan pihak PSSCM. Dengan lahirnya ahli-ahli di kalangan pelajar, mereka berusaha untuk menubuhkan PSSCM PJB sebagai salah satu persatuan di bawah Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) PJB.

Buat kali pertama, nama PJB telah ditukarkan kepada Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) pada 15 Disember 2011. Berikutan penjenamaan semula politeknik ini, segala pengurusan telah diambil alih oleh pegawai-pegawai baru dan segala aktiviti hanya dibenarkan untuk mata pelajaran ko-kurikulum sahaja. Sungguhpun begitu, julung kalinya pelajar-pelajar dari PIS bersama beberapa orang ahli PSSCM Kelas Latihan Pasir Gudang telah menyertai Kejohanan Wajadiri IPT 2012 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat tempat ketiga bagi keseluruhan kumpulan yang bertanding.

Antara aktiviti yang pernah dijalankan oleh KSSCM PIS dengan kerjasama PSSCM CJDT ini adalah Kursus Teknik Belajar & Mesyuarat Agung Cawangan PSSCM CJDT Kali ke-17 disamping turut serta dalam segala aktiviti yang dijalankan di peringkat cawangan, pusat dan IPT lain.

Pada tahun 2014, sejajar dengan perubahan sistem pendidikan ko-kurikulum di PIS, KSSCM PIS bergerak secara langsung di bawah ‘Jawatankuasa Perwakilan Pelajar’ dan ‘Jabatan Hal Ehwal Pelajar’ (HEP) PIS sekaligus membenarkan aktiviti dijalankan sepanjang semester berlangsung. Seterusnya, permohonan KSSCM PIS untuk menggunakan Kompleks Sukan PIS mendapat sokongan yang memberansangkan dari HEP pada tahun 2015.

KSSCM PIS masih lagi sentiasa maju sehingga hari ini dan mengekalkan hari latihan iaitu pada setiap hari Selasa bermula jam 9.00 malam hingga 11.00 malam.

Joomla templates by a4joomla