Profil Kelas Latihan Pasir Gudang (KLPG) Sejarah Penubuhan

 

Sejarah KLPG bermula pada sekitar tahun 1998. Dengan berkat dan keizinan dari Yang Mulia Guru Utama pada masa itu, Yang Mulia Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam, seramai 27 orang ahli baru dari kawasan Pasir Gudang telah selamat diijazahkan pada tanggal 26 Jun 1998 bertempat di Ibu Pejabat PSSCM CJDT Taman Kemas, Johor Bahru. Encik Hamzah bin Haji Kamarudin telah di lantik menjadi Penyelia Pertama KLPG. KLPG mula bergiat aktif dan bertapak di Kampung Pasir Putih Pasir Gudang yang mana kelas latihan pertama telah dapat dijalankan di Bilik Gerakan UMNO Kampung Pasir Putih. Hasil usaha dan dorongan daripada Ahli PSSCM CJDT iaitu Encik Hamzah bin Haji Kamarudin, Encik Menhat bin Majid dan beberapa orang yang lain serta mendapat kerjasama dari Bilal Masjid Kampung Pasir Putih iaitu Bilal Abdullah. Seramai 21 orang dari Kelas Pertama KLPG telah selamat di ijazah Tamat bertempat di Balai Raya Kampung Pasir Putih.

KLPG telah mula mendapat sambutan dalam kalangan penduduk-penduduk setempat Kampung Pasir Putih dan diberi kebenaran untuk berpindah dan menggunakan kemudahan Balai Raya Kampung Pasir Putih sebagai tapak kelas latihan yang baru. Aktiviti kelas Silat Cekak dapat dijalankan dua kali dalam satu minggu, iaitu pada setiap hari Isnin dan Jumaat dari jam 9 malam hingga 11 malam. Ianya juga mendapat kerjasama dan bantuan Tenaga Pengajar dari Johor Bahru seperti Encik Sazali bin Haji Samsudin, Encik Muhammad Nazim bin Dzulfakar, Encik Zaaba bin Ahmad, Encik Zulkifli bin Zahar, Puan Radziah binti Abdul Razak dan beberapa tenaga pengajar yang lain. Hampir empat (4) tahun Silat Cekak menjalankan aktiviti di Balai Raya Kampung Pasir Putih, akhirnya telah berpindah ke tapak kelas latihan yang baru di belakang rumah ahli berhampiran dengan Masjid Kampung Pasir Putih pada bulan November tahun 2002 atas usaha dan kerjasama ahli silat cekak iaitu Encik Anuar bin Miswan. Perpindahan ini berlaku kerana terdapat halangan dan bantahan dari kalangan penduduk setempat serta ahli jawatankuasa penduduk.

Keadaan dan kesesuaian kelas ketika itu tidak memuaskan, terdapat semak samun, serpihan kaca, tiada kemudahan asas seperti tandas, dan ketiadaan bekalan elektrik. Justeru itu, bagi menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan elektrik, hasil usaha dan tindakan Encik Jailani bin Rabu yang terpaksa membeli Set Generator terpakai untuk kegunaan kelas. Berbekal semangat dan daya juang yang tinggi dalam kalangan ahli Silat Cekak, suatu gotong-royong telah dijalankan bagi program pembersihan kawasan sekitar. Atas sebab-sebab yang tertentu, sekali lagi kelas latihan telah berpindah ke Taman Air Biru di Dewan Perjiranan 9, pada bulan Jun tahun 2004 setelah hampir dua (2) tahun menjalankan aktiviti Silat Cekak. Kemudahan prasarana yang cukup selesa seperti tandas, lampu, kawasan letak kereta yang luas dan kadar sewa bulanan yang berpatutan iaitu sebanyak RM80.00 sahaja. Kelas Silat Cekak telah dapat dijalankan dengan jayanya di Dewan Perjiranan 9, Taman Air Biru.

 

Sekali lagi KLPG telah di beri kejutan atas berita pengubahsuaian akan di lakukan terhadap Dewan Perjiranan 9. Impaknya KLPG terpaksa berpindah setelah menjalankan aktiviti selama hampir lima (5) bulan. Atas usaha dan ikhtiar Penyelia dan ahli-ahli PSSCM CJDT, aktiviti Silat Cekak KLPG telah berpindah ke penempatan yang baru pada bulan Januari tahun 2005 iaitu bertempat di Dewan Kelab Kilat TNB Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Iskandar Pasir Gudang berhampiran dengan kawasan pusat bandar Pasir Gudang dan berdekatan perumahan penduduk yang berkepadatan tinggi. Terdapat kemudahan prasarana dan infrastruktur yang lengkap, cukup dan lebih selesa seperti kawasan padang, bilik air, pencahayaan lampu yang terang, penempatan letak kereta yang cukup, kafeteria dan anjung dewan yang luas serta kemudahan kawasan riadah. 

Bertepatan dengan kemudahan dan keselesaan kelas latihan yang baru, kadar sewa bulanan adalah berpatutan sebanyak RM120.00. Sumber kewangan dan pendapatan diperoleh dari sumbangan ahli dan bantuan PSSCM CJDT bagi menjana sumber pendapatan KLPG. Aktiviti dan kelas Silat Cekak di KLPG dapat di jalankan dengan lebih baik seperti biasa pada setiap hari Isnin dan Jumaat.

Seorang ahli Silat Cekak berstatus Tenaga Pengajar masih kekal aktif sehingga kini dari kelas pertama Kelas Latihan Pasir Gudang iaitu Encik Mohd Jailani bin Rabu. Keberadaan Silat Cekak di Dewan Kelab Kilat TNB ketika ini ada lima buah kelas dalam satu masa iaitu Kelas Asas, Kelas Jatuh, Kelas Potong, Kelas Tamat dan Kelas Kemahiran. Program Penerangan Pengambilan Ahli Baru dan Persembahan Silat Cekak dapat diadakan sebulan sekali. KLPG telah bergiat aktif di Dewan Kelab Kilat TNB dari tahun 2005 sehingga kini dan hampir 17 tahun Silat Cekak telah bergiat aktif di Pasir Gudang.

 

ALAMAT DAN PERHUBUNGAN KELAS LATIHAN PASIR GUDANG
PENYELIA: ENCIK HEIRUNNIZAM BIN SARIAN
KELAS LATIHAN PASIR GUDANG
DEWAN SERBAGUNA TASEK 64, BANDAR SERI ALAM,
81750 MASAI, JOHOR.

 

Aktiviti

Demonstrasi & Penerangan
Program Demonstrasi dan Penerangan di adakan di KLPG sempena Majlis Pengambilan Ahli Baru Seni Silat Cekak khas untuk prospek baru yang hadir dan ingin belajar serta memberi pendedahan kepada penuntut sedia ada yang sedang belajar. Aktiviti ini di lakukan pada setiap dua bulan sekali sepanjang tahun. Aktiviti ini telah di buat di kawasan padang Dewan Kelab Kilat TNB Pasir Gudang oleh Pegawai Penerangan dan Skuad Demonstrasi KLPG & PSSCM CJDT

Makan & Minum Selepas Latihan
Selepas selesai waktu kelas latihan dari jam 9 malam hingga 11 malam, Tenaga Pengajar KLPG, Ahli Tamat dan beberapa penuntut yang sedang belajar serta anak-anak Tenaga Pengajar berehat untuk makan dan minum di Cafeteria Dewan Kelab Kilat TNB Pasir Gudang. Di samping itu, ianya juga dapat mengeratkan tali persaudaraan di antara satu sama lain serta menyampaikan maklumat terkini. Penyediaan makanan dan minuman

Joomla templates by a4joomla