Profil Kelas Latihan Ibu Pejabat Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Johor Darul Takzim (PSSCM CJDT), Taman Kemas

Sejarah Kelas Latihan Ibu Pejabat PSSCM CJDT Taman Kemas bermula selepas daripada krisis perpecahan PSSCM pada tahun 1993. Satu demonstrasi penerangan telah diadakan untuk mengembalikan PSSCM di bumi Johor Darul Takzim. Usaha-usaha untuk memberi penerangan dengan lebih sistematik telah berjaya diatur pada tanggal 15hb Januari 1995, satu demonstrasi sederhana telah diadakan di padang Syarikat Kejuruteraan Kapal Masai, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang. Di majlis tersebut pihak Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat PSSCM telah menghantar tiga (3) orang AJK serta tiga puluh lima (35) orang anggota Skuad Demonstrasi Pusat bagi mengadakan demonstrasi yang telah diatur.

AJK Pusat yang telah menghadiri majlis tersebut, yang ketika itu Yang Mulia Guru Utama Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah adalah Naib Presiden PSSCM, Encik Roslin bin Ali Omar dan Tuan Haji Khamarul Ariffin bin Haji Zainal Abidin. Sementara skuad demonstrasi telah diketuai oleh saudara Jabar bin Hashim dan saudara Ismail bin Hassan. Majlis demonstrasi dan penerangan tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Tebrau, Cik Siti Zainab binti Sheik Abu Bakar dan majlis penutupnya telah disempurnakan oleh Speaker ADUN Johor, Dato' Haji Ali bin Hassan. Hasil daripada majlis demonstrasi tersebut serta usaha-usaha berterusan yang dijalankan oleh ahli-ahli PSSCM yang taat setia, maka kelas latihan dapat diwujudkan.

Bermula pada tanggal 14hb Februari 1995, jam 8.30 malam bertempat di No 27, Jalan Sri Pelangi, 80400 Johor Bahru, Silat Cekak dilahirkan kembali di bumi Johor Darul Takzim setelah dibubarkan selama dua (2) tahun. Seramai 13 orang ahli baru telah selamat diijazahkan oleh Yang Mulia Guru Utama Tuan Haji Ishak bin Itam.

Mereka telah memulakan kelas latihan pada 15hb Februari 1995 dengan nama Kelas Latihan Johor Bahru Satu (KLJB1) di No. 600, Jalan Mohd Ibrahim, Kampung Penggawa Timur, Jalan Tebrau, Johor Bahru. Ketika ini KLJB1 telah diuruskan oleh Jawatankuasa Penaja yang bernaung terus kepada Pentadbiran Pusat Ibu Pejabat PSSCM di Kuala Lumpur.

Setelah setahun lebih kelas latihan dapat dijalankan di Kampung Pengawa Timur, Jalan Tebrau, pada sekitar pertengahan tahun 1996, hasil sumbangan seorang ahli yang sedang belajar iaitu Tuan Haji Mohd Isman bin Ismail, maka sebuah rumah persatuan berjaya didirikan di Jalan Selasih 11, Taman Kemas, Tampoi atas sokongan dan persetujuan Ketua UMNO Cawangan Taman Kemas ketika itu ialah Allahyarham Lt. Kol (B) Haji Abdullah.

Maka untuk kesekian kalinya PSSCM CJDT berpindah dari No. 600, Jalan Mohd Ibrahim, Kampung Penggawa Timur, Jalan Tebrau ke Ibu Pejabat PSSCM CJDT di Jalan Selasih 11, Taman Kemas, Tampoi. Setelah berpindah segala pentadbiran kelas latihan telah diuruskan sepenuhnya oleh Jawatankuasa PSSCM CJDT sepenuhnya dengan bermulanya kelas dengan nama Cawangan Johor Satu (CJ1).

Permohonan untuk menggunakan tapak telah dihantar oleh Encik Roslizan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada tarikh 27hb Disember 1995 dan diluluskan pada 5hb Januari 1996. Haji Mohd Isman bin Ismail berbesar hati untuk membiayai seluruh kos pembinaan bangunan untuk PSSCM CJDT di atas tanah ini. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor telah meluluskan lesen pendudukan sementara untuk PSSCMCJDT ke atas tanah di Taman Kemas pada tahun 2006.

Lokasi kelas latihan ini dianggap strategik kerana majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam serta sokongan yang diberikan serta berhampiran dengan kemudahan awam. Kelas latihan ini juga berfungsi sebagai Ibu Pejabat PSSCM CJDT. Segala aktiviti PSSCM CJDT dan aktiviti kemasyarakatan dapat dilakukan sehingga kini.

Di sinilah segala aktiviti dirancang dan menjadi titik tolak perkembangan PSSCMCJDT sehingga kini dibawah kepimpinan Yang Mulia Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah sebagai Guru Utama dan Presiden PSSCM yang menyambung amanah daripada guru-guru Silat Cekak sebelumnya.

 

Joomla templates by a4joomla