Sejarah Penubuhan Kelas Latihan Kota Tinggi (KLKT)
Sejarah Seni Silat Cekak di negeri Johor telah bermula sejak awal tahun 1980-an, kesinambungan dari peristiwa tersebut Silat Cekak telah dikembangkan ke daerah Kota Tinggi pada bulan April tahun 2007. Ijazah pertama bagi PSSCM CJDT, Kelas Latihan Kota Tinggi adalah seramai 14 orang yang telah diijazahkan oleh Yang Mulia Guru Utama PSSCM, Tuan Haji Ishak bin Itam di Surau Taman Muhibbah, Kota Tinggi.
Pengijazahan tersebut telah menjadi sejarah kerana buat julung kalinya Yang Mulia Guru Utama telah hadir ke kawasan Kelas Awam (Kelas Latihan Kota Tinggi) tersebut berbanding pada kebiasaannya Majlis pengijazahan bagi Kelas-Kelas Awam akan dijalankan di Ibu Pejabat PSSCM CJDT yang beralamat di Bangunan Silat Cekak, Jalan Selasih 11, Taman Kemas 81200 Johor Bahru, Johor.
PSSCM CJDT, Kelas Latihan Kota Tinggi yang pertama pada mulanya bertapak di kawasan lapang Taman Kota Jaya, di alamat Jalan Binjai 11, Taman Kota Jaya 81900 Kota Tinggi dengan bantuan penuntut Kelas Asas pada ketika itu iaitu Encik Amir Hamzah bin Abu Bakar dengan persetujuan pemimpin tempatan serta Pejabat-Pejabat Kerajaan seperti Pejabat Daerah Kota Tinggi, Pejabat Belia dan Sukan Daerah, Majlis Daerah Kota Tinggi dan Polis Diraja Malaysia. Penyelia Kelas yang pertama ini adalah Saudara Ramzee bin Abdul Rawi dan dibantu oleh Saudara Za’aba bin Ahmad selaku Penolong Penyelia serta seramai 5 orang Tenaga Pengajar yang mengendalikan kelas latihan tersebut.
Setelah hampir lima (5) tahun PSSCM CJDT, KLKT aktif di Jalan Binjai 11, Taman Kota Jaya, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi (PBSKT) telah menjemput PSSCM CJDT, KLKT untuk meneruskan Kelas Latihan dan aktiviti persatuan di Wisma Belia, Jalan Mohd Amin, Kota Tinggi. Tujuan PSSCM CJDT, KLKT dijemput untuk berpindah ke Wisma Belia adalah untuk memastikan Wisma Belia aktif digunakan seterusnya dapat menarik belia-belia untuk menjalankan aktiviti yang sihat di Wisma Belia. Selain itu, penggunaan Wisma Belia yang aktif akan lebih memudahkan PBSKT memohon peruntukkan untuk penyelenggaraan dan naiktaraf bangunan.
Tawaran menggunakan Wisma Belia oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah telah diterima dengan perasaan yang bercampur baur oleh ahli-ahli PSSCM CJDT. Ini kerana Bangunan yang dikhususkan untuk PSSCM CJDT menjalankan kelas dan aktiviti Persatuan berada di dalam keadaan yang daif iaitu tiada bekalan elektrik, kipas, lampu dan tiada sistem pendawaian elektrik. Begitu juga sistem perpaipan dan bekalan air yang tiada. Keadaan di dalam bangunan termasuk bilik air juga kurang memuaskan.
Oleh yang demikian, Ahli Jawatankuasa PSSCM CJDT telah mengadakan beberapa sesi mesyuarat dan perbincangan tidak rasmi dengan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi dan akhirnya PSSCM CJDT telah bersetuju untuk KLKT berpindah ke Wisma Belia Kota Tinggi dengan PSSCM CJDT mengeluarkan perbelanjaan awal bagi sistem bekalan elektrik sementara menunggu PBSKT memperolehi peruntukkan dari Kerajaan. PBSKT telah mengeluarkan surat kebenaran kepada PSSCM CJDT, KLKT menggunakan Wisma Belia sebagaimana rujukan PBSKT (700)2-1/22 dan PSSCM CJDT, KLKT telah memulakan kelas yang pertama di Wisma Belia pada 10 April 2012.
Seteruskan PSSCM CJDT dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah telah bersama-sama berjaya mendapatkan peruntukan penyelenggaraan dan naiktaraf Wisma Belia melalui peruntukan Pejabat Daerah Kota Tinggi berjumlah RM60,000. Peruntukan tersebut telah digunakan untuk naiktaraf bangunan yang digunakan oleh PSSCM CJDT, KLKT dan bangunan-bangunan lain di dalam Wisma Belia tersebut. Sepanjang tempoh naiktaraf tersebut, aktiviti PSSCM CJDT KLKT telah diadakan secara sementara di gelanggang sepak takraw di kawasan Wisma Belia tersebut. Akhirnya setelah tiga (3) bulan kerja-kerja pembaikkan dan pengubahsuaian Wisma Belia telah siap sepenuhnya. PSSCM CJDT, KLKT telah dibenarkan untuk menggunakan semula Bangunan yang dikhususkan untuk PSSCM CJDT, KLKT pada bulan Disember 2012. Oleh yang demikian, aktiviti PSSCM CJDT, KLKT telah berjalan semula seperti biasa sehingga kini.