Sejarah Penubuhan Kelab Seni Silat Cekak Malaysia Kolej Tun Razak (KSSCM KTR), UTM Skudai Sejarah Penubuhan

 

Seni Silat Cekak Malaysia telah ditubuhkan dibawah Pusat Ko-kurikulum Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 2004. Sebelum penubuhan tersebut, beberapa sesi perjumpaan dan rundingan telah diadakan di antara, Yang Mulia Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah, Encik Roslin bin Ali Omar, Encik Ramzee bin Abd Rawi, Encik Sazali bin Haji Samsudin dan Puan Lailati binti Mohd Noh dengan Pengarah Pusat Kokurikulum, Profesor Kamaruddin bin Arifin merangkap Pengetua Kolej Tun Razak (KTR) UTM Skudai.

Semua mahasiswa UTM diwajibkan untuk mengambil dua jam kredit subjek ko-kurikulum. Oleh itu, pada setiap semester majlis pengijazahan akan diadakan untuk mahasiswa yang mengambil subjek ko-kurikulum bagi seni silat ini dibawah penyeliaan dan tunjuk ajar Jurulatih / Ketua Pegawai Penerangan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Johor Darul Takzim (PSSCM CJDT), Puan Lailati binti Mohd Noh pada ketika itu.

Silat Cekak di UTM bergerak secara aktif melalui unit ko-kurikulum dan juga bukan ko-kurikulum yang dibuka kepada pelajar yang ingin belajar sebagai unit tambahan. Kelas bukan ko-kurikulum telah dikendalikan dibawah penyeliaan jurulatih Encik Muhammad Nazim bin Dzul Fakar. Kelas ini telah wujud di KTR, namun begitu usaha ahli-ahli tanpa putus asa sentiasa dijalankan agar PSSCM dapat didaftarkan sebagai kelab / persatuan yang sah di dalam UTM.

Semenjak awal penubuhan jam kredit Silat Cekak pada tahun 2004, pengambilan ahli baru hanya tertumpu kepada Mahasiswa yang mendaftarkan diri di bawah ko-kurikulum Silat Cekak Malaysia sahaja. Namun begitu, pada tahun 2009, ahli-ahli yang bergiat aktif sewaktu itu telah mengadakan perbincangan untuk mengembangkan lagi keahlian kepada semua warga UTM. Dengan inisiatif Yang DiPertua Seni Silat Cekak Malaysia UTM, saudara Muhamad Fuad bin Roslizan, beliau telah berjaya mendaftarkan Silat Cekak sebagai satu pertubuhan kelab yang diiktiraf oleh KTR, UTM. Kelab Seni Silat Cekak Malaysia (KSSCM) KTR telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 2009 dibawah penyeliaan dan tunjuk ajar penasihat PSSCM, Encik Sazali bin Haji Samsudin.

Usaha yang dilakukan oleh saudara Muhamad Fuad bin Roslizan bersama-sama Ahli Jawatankuasa waktu itu dibantu dan disokong sepenuhnya oleh Ahli Jawatankuasa Cawangan Johor Darul Takzim dan juga ahli tamat PSSCMCJDT. Dengan penubuhan kelab, pengambilan ahli baru dapat diperluaskan kepada Mahasiswa di kolej-kolej lain. Hasilnya, pengambilan ahli baru bertambah pada setiap tahun. Pada setiap semester, ahli jawatankuasa kelab dan ahli tamat UTM berusaha mengedarkan poster dan mengadakan demostrasi di sekitar universiti dan di setiap kolej kediaman dengan kerjasama ahli-ahli PSSCMCJDT. Alhamdulillah, usaha ini telah menampakkan hasil dan ramai warga UTM telah mendaftar sebagai ahli baru.

Penglibatan ahli-ahli KSSCM KTR UTM, terus bertambah hingga ke peringkat pusat. Pada tahun 2010, buat pertama kalinya pada Karnival Wajadiri peringkat Institusi Pengajian Tinggi, UTM telah berjaya membawa dua pasukan yang terdiri daripada lapan mahasiswi dan sepuluh mahasiswa. Walaupun tidak pulang dengan membawa pingat, namun ia memberi pengalaman yang berharga dan tetap menjadi kebanggaan kerana ini menunjukkan bahawa Seni Silat Cekak Malaysia UTM terus aktif.

Penglibatan yang sama juga diteruskan lagi bagi ahli-ahli KSSCM dalam Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1MALAYSIA kali ke-5 iaitu pada tahun berikutnya pada tanggal 11 Februari 2012. Acara telah dilangsungkan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berita baiknya, Pasukan Wanita berjaya meraih Naib Johan bagi kategori 1 (PUTERI) dan tempat ke-5 keseluruhan daripada 37 pasukan yang bertanding. Pada tahun 2015, pasukan Lelaki berjaya meraih tempat ke-3 dalam kategori bermuzik di Kejohanan Wajadiri IPT PSSCM dan Jemputan kali ke-6 di Dewan Tunku Mahkota Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan secara keseluruhan, KSSCM KTR UTM berjaya meraih tempat ke-5 daripada 43 pasukan yang bertanding.

 

Sepanjang tujuh tahun penubuhan KSSCM KTR UTM, telah banyak program yang dijalankan dan disertai. Antaranya adalah:

  1. Mesyuarat Agung Tahunan
  2. Program Pengambilan Ahli Baru
  3. Pertunjukan Demonstrasi di Fakulti-fakulti dan Pesta Konvokesyen
  4. Program Interaksi Perdana dengan PSSCMCJDT, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat seperti Encik Roslin bin Ali Omar.
  5. Program Berbasikal
  6. Karnival Wajadiri Kebangsaan
  7. Karnival Wajadiri Peringkat Negeri Johor
  8. Majlis Berbuka Puasa
  9. Majlis Ijazah PSSCM CJDT
  10. Majlis Sambutan Hari Raya
  11. Program Berkayak
  12. Pameran di Dewan Sultan Iskandar, di Fakulti-fakulti dan juga di Pusat Kokurikulum
  13. Lawatan dan Majlis Interaksi ke Pusat Latihan Bukit Beruntung dan Rumah Persatuan di Jalan Kent
  14. Program Kepimpinan anjuran Kolej Tun Razak
  15. Fiesta Futsal dan Memanah
  16. Kursus Pentadbiran IPTA / IPTS Kebangsaan
  17. Kelas kemahiran di Ibu Pejabat PSSCM CJDT Taman Kemas
  18. Kursus Teknik Belajar
  19. Ujian Sijil Rendah
  20. Konvokesyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia
  21. Majlis Santap Beradat
  22. Majlis Khatam Marhaban, Barzanji dan Qasidah Burdah Peringkat IPT dan Cawangan Johor Darul Takzim.

 

Diharapkan agar ahli-ahli KSSCM KTR UTM akan terus berusaha untuk bersama-sama mendokong perjuangan PSSCM CJDT khasnya dan PSSCM amnya dibawah kepimpinan Yang Mulia Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah.

Joomla templates by a4joomla