Sejarah Penubuhan Kelab Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (KSSCM UTHM), Batu Pahat Sejarah Penubuhan

 

Sejarah KSSCM UTHM telah bermula apabila cadangan penubuhan tersebut telah disuarakan oleh Yang DiPertua Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Negeri Sembilan (PSSCM CNS) Tuan Haji Baharudin bin Mohd Abdul Rahim ketika Encik Muhammad Naquib bin Abdul Rahman berkunjung ke rumah beliau di Taman Marghosa di Seremban, Negeri Sembilan. Selepas daripada pertemuan itu maka, Encik Muhammad Naquib bin Abdul Rahman yang merupakan pelajar tahun dua di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menghubungi Encik Sazali bin Haji Samsudin Yang DiPertua Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Johor Darul Takzim (PSSCM CJDT) bagi menyuarakan hasrat untuk bekerjasama memulakan penubuhan KSSCM UTHM.

Segala perancangan dan gerak kerja telah diatur oleh Encik Sazali bin Haji Samsudin dengan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dari pihak PSSCM CJDT yang terdiri daripada Encik Mohamad Taufiq bin A. Aziz, Encik Hafizzudin bin Roslan dan Encik Adi bin Haji Zawawi. Pada 28 September 2011 Encik Muhammad Naquib bin Abdul Rahman memulakan usaha untuk mengumpulkan ahli-ahli yang sedia ada di UTHM melalui laman sosial “Facebook” Jabatan Penerangan PSSCM dan hasilnya seramai 17 orang telah berjaya dikumpulkan sebagai permulaan. Berkat dari kerjasama ahli-ahli dari UTHM dan PSSCM CJDT yang diterajui oleh Encik Sazali bin Haji Samsudin, maka gerak kerja untuk menubuhkan KSSCM UTHM telah bermula setelah perbincangan dan pertemuan di antara Jawatankuasa Pemandu, Encik Muhammad Naquib bin Abdul Rahman, Encik Sazali bin Haji Samsudin dan Encik Sham bin Haji Mohd Ghani Yang DiPertua Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Melaka (PSSCM CM) pada 7 Oktober 2011 di Batu Pahat.

Pada 8 Oktober 2011 perjumpaan pertama dalam kalangan ahli di UTHM telah diadakan dan dihadiri seramai 17 orang ahli. Bermula dari perjumpaan pertama tersebut segala kerja-kerja pengurusan bagi penubuhan KSSCM UTHM bermula di peringkat UTHM dan satu sesi Demonstrasi Pengambilan Ahli Baru dirancang bagi mempromosikan KSSCM UTHM. Walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan halangan yang hampir menyebabkan sesi Demonstrasi tersebut dibatalkan, usaha tetap diteruskan dengan gigih dan hasilnya satu Sesi Demonstrasi dan Pengambilan Ahli Baru yang pertama telah dilakukan pada 2 Disember 2011 di Bilik Tarian Unit Kebudayaan dan hasilnya 11 orang ahli baru telah berjaya dikumpulkan. Pada 10 Mac 2012, seramai 11 penuntut Silat Cekak Malaysia dari UTHM telah diijazahkan buat kali pertama oleh Yang Mulia Guru Utama Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah bertempat di Ibu Pejabat PSSCM CJDT Taman Kemas, Johor.

Selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah UTHM pada 20 Mac 2012 bersamaan 27 Rabiulakhir 1433H, KSSCM UTHM secara rasminya telah berdaftar sebagai Kelab di bawah pentadbiran Unit Hal Ehwal Pelajar UTHM. Hasil usaha dari Encik Zahirul Amir bin Ahmad dan Encik Mohamad Fareez bin Mohd Ashari mereka telah berjaya menyakinkan Encik Shahrin bin Harun iaitu Pegawai Unit Kebudayaan UTHM untuk menjadi Penasihat KSSCM UTHM yang pertama.

Maka, sesi kelas latihan KSSCM UTHM yang pertama bermula dan bergerak aktif pada 1 April 2012. Sesi kelas latihan ini telah dihadiri oleh 6 orang tenaga pengajar, 12 orang ahli tamat, 1 orang penuntut kelas potong dan 7 orang penuntut kelas asas. Bermula daripada itu, KSSCM UTHM telah bergerak dan menjalankan segala aktiviti sebagai sebuah Kelab di UTHM sehingga ke hari ini.

Selepas penubuhan KSSCM UTHM pada tahun 2012, beberapa program telah dijalankan bagi memastikan kelab ini terus aktif. Antaranya ialah:

  1. Program Pengambilan Ahli Baru dan Demonstrasi Penerangan dan Persembahan Silat Cekak Malaysia
  2. Pameran di Kelab Seni Silat Cekak Malaysia sempena Karnival Aktiviti Pelajar 2012
  3. Pertandingan Silat Seni Asli Peringkat Kebangsaan 2013, 2014 & 2015
  4. Kursus Bijak Belajar 2012 & 2013
  5. Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama KSSCM UTHM
  6. Karnival Aktiviti Pelajar 2012
  7. Program Jejak Panglima KSSCM UTHM 2013
  8. Kursus Tenaga Pengajar PSSCM Zon Selatan 2014
  9. Program Apresiasi Seni Bawah Lampu UTHM 2014
  10. Program Interaksi Cekak KSSCM UTHM 2014
  11. Kejohanan Wajadiri IPT PSSCM & Jemputan Kali ke-6 2015
  12. Persembahan Demonstrasi Pengambilan Ahli Baru 2015
  13. Program Smart Learning Seni Silat Cekak Malaysia 2015
  14. Karnival Aktiviti Pelajar 2015
  15. Persembahan Demonstrasi Program Kelestarian Pendidikan Orang Asli
  16. Majlis Penangguhan Kelas Latihan KSSCM UTHM sesi 2015

 

Diharapkan agar ahli-ahli penubuhan KSSCM UTHM akan terus berusaha untuk bersama-sama mendukung perjuangan PSSCM CJDT khasnya dan PSSCM amnya dibawah kepimpinan Yang Mulia Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah, Guru Utama dan Presiden PSSCM.

Joomla templates by a4joomla