Shukri J., Zaimilah Y., M. Surat dan Ab. Majid

PSSCM Kelas Latihan Putrajaya 62550 Putrajaya
PSSCM Kelas Latihan Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi Selangor

Abstrak

Perkembangan seni silat Melayu pasca kemerdekaan sekitar tahun-tahun 1950an hingga ke pertengahan tahun 1970an sering menghadapi pelbagai permasalahan akibat persekitaran sosio-politik yang mencabar. Ia adalah kesan daripada keadaan pemerintahan negara yang masih rapuh timbul akibat ancaman-ancaman yang muncul dari dalam dan luar negara. Keadaan tersebut telah mempengaruhi perkembangan awal Silat Cekak di dalam menyusuri perkembangan sejarah dan pembangunan negara. Kajian kualitatif berbentuk konseptual ini menggunakan kaedah penyelidikan temubual bersemuka dan analisa dokumen bagi mencari fakta untuk menjelaskan fenomena-fenomena terjadi yang banyak mempengaruhi pemikiran masyarakat Melayu serta perkembangan seni silat di awal-awal zaman kemerdekaan negara. Kertas kerja ini cuba membuktikan peranan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) sebagai sebuah pertubuhan seni silat Melayu yang turut menyumbang kepada proses pembangunan komuniti dan negara ini. Ia diharapkan menjadi perintis kepada kajian-kajian komprehensif seterusnya di masa-masa akan datang bagi memperincikan lagi fenomena ancaman-ancaman yang berlaku dan mempengaruhi perkembangan seni silat Melayu di tanah air sepanjang tempoh pasca kemerdekaan tersebut.

Kata kunci: Sosio - politik, pasca, kemerdekaan, fenomena, Silat Cekak, Melayu

Pengenalan

Seni silat Melayu merupakan warisan budaya yang melambangkan ketinggian tamadun sesebuah bangsa. Seni silat memainkan peranan yang besar di dalam mempertahankan kedaulatan negara dan seluruh wilayah Nusantara dari dirosakkan oleh para penjajah [1 ]. Namun setelah negara mencapai kemerdekaan seni silat telah dipandang suram akibat peranannya telah diambil oleh pasukan-pasukan keselamatan negara yang lengkap bersenjata serta mempunyai kemampuan dari segi logistik dan persenjataan [2 ]. Masyarakat juga semakin melupakan seni silat sebaliknya lebih mengutamakan bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam sebuah negara yang baru merdeka dalam masa yang sama tidak terdaya mempertahankannya akibat ancaman keselamatan serta ketidakmampuan dari sudut kewangan. Badan-badan silat juga mengalami kepupusan pemimpin yang berjiwa ulamak dan benar-benar alim dalam bidangnya. Akibatnya seni silat mula dipandang sepi dalam mengekalkan identiti dan menjaga keselamatan bangsa. Sebaliknya, elemen-elemen bercorak hiburan dan “kebatinan dan mistik” sedikit demi sedikit meresap masuk ke dalam jiwa para pesilat dan badan-badan silat tanahair sehingga munculnya Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad yang membawa perubahan terhadap dunia seni silat Melayu dengan lahirnya kembali Seni Silat Cekak.

 

Dapatan Kajian

Pasca Kemerdekaan Malaya 1957 menyaksikan pemerintahan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj telah memberikan penekanan terhadap usaha membasmi kemiskinan dan buta huruf serta usaha menangani ancaman-ancaman keselamatan negara. Ini menyebabkan proses penyusunan dan integrasi masyarakat majmuk tidak diberikan perhatian yang sewajarnya menyebabkan setiap kaum terus kekal dengan jurang pemisahan yang ketara berdasarkan status-status sosio-ekonomi mereka kesan dari dasar pecah dan perintah penjajah Inggeris [3 ].

Kebanyakan orang Melayu di zaman awal kemerdekaan masih kekal sebagai petani, nelayan dan kerja-kerja di kampung. Hanya segelintir sahaja berperanan sebagai elit politik dan birokrat. Kebanyakkan ahli kelompok ini berpendidikan Barat hasil legasi tinggalan British. Sementara komuniti Cina terus mendominasi sektor ekonomi bandar sebagai golongan peniaga, pelombong atau petani-petani sara diri di kampung-kampung baru yang tersusun. Manakala komuniti India majoritinya masih kekal sebagai buruh di estet-estet yang dijaga keperluannya oleh mandor-mandor dan pengurus-pengurus syarikat perladangan. Majoriti syarikat perladangan ini masih dimiliki oleh saudagar Inggeris, peniaga-peniaga bandar dan segelintir elit yang mewarisi kerja-kerja pentadbiran atau profesional di bandar-bandar [4 ].

 

Kesedaran berpolitik orang Melayu bermula dengan penyertaan mereka ke dalam parti politik antaranya seperti Saberkas dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Ini diikuti oleh UMNO yang muncul serta menjadi tunjang bagi komponen Parti Perikatan. Manakala kumpulan yang cenderung kepada nilai keagamaan akan menyertai Hizbul Muslimin kemudiannya bergelar Parti Islam SeMalaysia - PAS [5 ] ataupun Parti Negara yang majoritinya masih Melayu sebagai satu bentuk partisipasi dan sumbangan kepada komuniti setempat dan negara. Meskipun berbeza pentas politik, orang-orang Melayu masih memberikan penghormatan yang tinggi kepada institusi Kesultanan dan seterusnya kepada Yang Dipertuan Agong (YDA) sebagai penaung kepada rakyat pelbagai kaum di peringkat Persekutuan dan Negeri-negeri [6 ]. Perkara yang sama juga telah dilalui oleh pengasas Silat Cekak; Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad yang pernah menjadi ahli Parti Saberkas pada tahun 1946 kemudiannya menyertai Parti Negara pada tahun 1956 sehingga menjadi calon parti tersebut bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkawi, Kedah dalam Pilihanraya Pertama Persekutuan Tanah Melayu (1959) namun tewas kepada Parti Perikatan (UMNO) sehingga menyebabkan beliau meninggalkan terus dunia politik selepas tahun 1962 [7 ].

 

 

Baca artikel penuh di sini

 

-----

lagi bacaan lain

Joomla templates by a4joomla