Silat merupakan salah satu seni mempertahankan diri yang menjadi warisan bangsa Melayu dan Nusantara yang telah wujud sejak zaman berzaman lamanya. Seni silat ini bukan sahaja mengajar ahlinya bagaimana mempertahankan diri tetapi juga untuk membina satu masyarakat yang mempunyai ketahanan dalaman jati diri, disiplin, pembentukan sahsiah yang tinggi.
Tidak ketinggalan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) turut mengajar ahlinya memperkasa budaya Melayu sekali gus mampu menjadi platform kepada penyatuan bangsa.
Yang DiPertua PSSCM Cawangan Johor, Sazali Samsudin berkata, Silat Cekak dapat membentuk semangat kesukarelawan melalui prinsip tiga satu tiga (313) yang bermaksud berguru, berpesatuan serta persilatan.
Menurutnya silat cekak dapat menyatukan bangsa Melayu sebagai modal insan untuk mencapai kejayaan kesatuan demi bangsa, agama dan negara.
"Ahli-ahlinya bukan sahaja tidak menerima sebarang imbuhan dalam setiap aktiviti malah mengorbankan masa, tenaga dan wang dalam menjayakan perjalanan persatuan.
"Falsafah ini bersifat asli yang digunakan untuk mendidik ahli yang mana elemen pendidikan dalam persatuan dan pengurusan ini membentuk modal insan yang sanggup berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
"Apabila ahli berjaya menerapkan prisip tiga satu tiga ini, maka wujudnya penyatuan atas perjuangan yang sama," katanya.
Sazali memberitahu keahlian PSSCM Cawangan Johor yang beroperasi di Taman Kemas dekat Tampoi, di sini selain mempunyai lapan kelas latihan seluruh Johor mempunyai keahlian seramai 3000 orang sehingga kini.
"Pendirian dan rupa bentuk Silat Cekak Malaysia yang tidak berkuda-kuda berbanding dengan seni bela diri lain telah diperkenal ketika itu adalah perkara yang sukar diterima oleh masyarakat.
"Almarhum Ustaz Hanafi Ahmad yang merupakan pengasas Silat Cekak amat cekal membawa konsep ini dan ia juga merupakan cabaran terbesar dalam proses transformasi penerimaan pendirian bersilat iaitu tidak berkuda-kuda atau berdiri lurus dalam masyarakat Melayu khususnya dalam konteks seni bela diri alam Melayu.
"Usaha transformasi minda ini memakan masa yang sangat panjang di samping kekangan dan cabaran getir dalam membangunkan PSSCM hingga mencapai kejayaan manis setelah berjuang selama 50 tahun," katanya.
Ujarnya lagi, transformasi seterusnya apabila PSSCM menjadi pelopor dalam dunua persilatan Melayu berkenaan kajian ilmiah dan akademik telah dilakukan dan dihuraikan dalam sudut falsafah, saintifik dan didikan rohaninya.
"Kolokium berkenaan kajian silat secara teori dan praktikal telah dijalankan di Institusi Pengajian Tinggi menjadikan PSSCM pelopor kepada usaha memartabatkan ilmu persilatan Melayu.
"Penghasilan buku, jurnal, artikel dalam pelbagai media dan pelbagai peringkat sama ada dalam atau luar negara menjadikan PSSCM selangkah ke hadapan dan jelas melalui pelbagai transformasi.
"Penulisan kajian dan kertas kerja yang berterusan ini memberi impak yang positif kepada perspektif masyarakat terhadap PSSCM dan silat," katanya.
Beliau berkara, transformasi yang dilakukan PSSCM juga mampu diangkat menjadi pemacu wadah dalam Transformasi Nasional (TN50) iaitu melahirkan belia berkualiti yang boleh menjadi modal insan.
"Sebagai rujukan pada hari ini PSSCM telah melahirkan ahli dari peringkar profesor, teknokrat, usahawan, pemimpin masyarakat dan sebagainya yang mempunyai jati diri Melayu sebenar yang membina ruang kepada masyarakat untuk menumpang ilmu pengerahuan dengan kepakaran mereka.
"Ia juga bersesuaian dengan tema perayaan ke-52 tahun PSSCM iaitu Budaya Silat Cekak Malaysia Teras Transformasi Negara," katanya.
Seni silat selalu dikaitkan dengan ilmu kebatinan dan amalan-amalan tertentu, bagaimanapun, Sazali menjawab menjadi matlamat PSSCM sejak ia ditubuhkan adalah untuk menentang perkara tahyul dan kurafat.
"Langkah proaktif ini telah lama diperjuangkan bagi memastukan tiada unsur tahyul dan khurafat yang menjadi amalan sehingga hari ini.
"Pegangan in iamat jelas secara bertulis dalam perlembagaan PSSCM. Ia dinyatakan dalam matlamatnya iaitu membasmi dan menentang tahyul dan khurafat yang tidak sesuai dengan iktikad Islam.
"PSSCM juga mempunyai Lembaga Pelajaran dan Tatatertib yang mana suatu badan yang mengawal dan menyelaras aktiviti penuh persatuan," katanya.
Mengenai cara untuk menarik generasi muda terhadap seni mempertahankan diri itu, beliau berkata, PSSCM juga berada di arus perdana yang sama iaitu menggunakan teknologi sebaran umum dalam menularkan sebarang maklumat berinformatif positif seperti sejarah, rakaman demonstrasi silat dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan untuk mendapatkan perhatian generasi muda.
"Bahan-bahan ini bersifat pendidikan dan tawaran kepada alternatif pendidikan luar. Ia menawarkan suatu bentuk kursus mempertahankan diri, membina kemahiran insaniah, jati diri modal insan dan sosialisasi dalam masyarakat umum.
"Kolaboratif bersama Kementerian Pendidikan turut dilakukan melalui Program Satu Sekolah Satu Silat mejadi medium pendidikan alternatif di peringkat sekolah lagi.
"Usaha itu menjadi pemangkin minat generasi muda untuk mewarisi legasi budaya bangsa yang menjadi prinsip PSSCM iaitu 'tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas'.
"Selain itu, sokongan daripada masyarakat khususnya ibu bapa dilihat mempunyai kesan besar dalam memupuk minat dalam menghargai dan mempelajari budaya bangsa Melayu yang hebat ini," katanya.
Secara kesimpulannya, beliau berkara, mempelajari silat atau seni bela diri merupakan satu keperluan khas pada masa ini kerana ia dilihat sebagai medium pendidikan sahsiah, disiplin, jati diri dan pembinaan modal insan seimbang.
"Silat tidak terhad sebagai satu cara seseorang itu mempertahankan diri, malah ia merupakan asas pembianaan bangsa Melayu yang memegang adat dan adab yang masih relevan pada hari ini.
"Pegangan yang luhur dan murni ini dapat membentuk generasi muda, remaja atau dewasa daripada terlibat dengan aktiviti yang negatif selain menjana tahap kesihatan tubuh badan yang sempurna serta mampu menjana stamina yang lebih mantap dan daya pemikiran yang lebih cedas.
"Silat juga membolehkan kita menjalani kehidupan yang lebih sihat dan menjadikan kita lebih berdisiplin dalam semua aspek kehidupan kerana dapat membina dan seterusnya menigkatkan keyakinan diri dalam mendepani ancaman bahaya atau disakiti oleh orang lain.
"Secara tidak langsung, silat juga dapat mengurangkan kejadian yang berunsur jenayah dalam masyarakat kerana ia mewujudkan keadaan aman dan makmur di seluruh kawasan kejiranan dan memupuk semangat kerjasama dan semangat kerjasama dan semangat perpaduan melalui pelbagai aktiviti masyarakat," katanya.
Silat Cekak berbeza daripada seni silat lain
Bermula hanya melihat demonstrasi oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di sekolah kira-kira 20 tahun lalu membuatkan seorang guru terus jatuh cinta untuk terus bergiat aktif dalam seni mempertahankan diri itu.
Roslan Daud, 50, berkata, beliau terpesona untuk menyertai PSSCM kerana seni silat itu lain daripada seni silat yang lain.
"Ketika saya menonton persembahan seni silat itu, saya terus berminat untuk mempelajarinya. PSSCM hanya memerlukan pesertanya berdiri tegak dan tidak menggunakan kuda-kuda seperti kebanyakan seni silat lain.
"Ia tidak menerang lawan, sebaliknya 99 peratus menunggu serangan. Hanya satu peratus sahaja menyerang sekiranya tidak dapat sabar.
"Malah, seni silat ini tidak mengira usia dan boleh diikuti masyarakat yang berusia 16 tahun dan keatas," katanya.
Penyelia Kelas Latihan Silat Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) serta pemegang Sijil Rendah Silat Cekak itu memberitahu, minatnya turut diwarisi oleh anak sulungnya yang berusia 23 tahun.
"Malah saya mahu empat anak saya yang lain apabila mencapai 16 tahun turut mempelajari Seni Silat Cekak ini sebagai ilmu mempertahankan diri masing-masing," katanya.
Bagi pegawai tadbir negeri, Mohd Nazid Jasiman, 36, dia mula mempelajari Silat Cekak sejak 15 tahun lalu selepas tertarik dengan pergerakannya yang mudah dan ringkas tetapi mempunyai ketepatan dan kuncian yang sangat kemas.
"Selain itu, pergerakan Silat Cekak yang segerak itu menangkis, melangkah dan menjatuhkan lawan memeri kelebihan kepada silat cekak berbanding ilmu mempertahankan diri yang lain.
"Kaedah pergerakkan menangkis serangan dalam Silat Cekak juga diilhamkan daripada pergerakkan yang diakui terbaik oleh orang Islam," katanya.
Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, penuntut akan diajar menangkis serangan terlebih dahulu sehingga faham tujuan bersilat dan diakhiri dengan buah serang.
"Kaedah ini mendidik saya menjadi manusia yang berani iaitu sifat insan, bukan garang yang merupakan sifat haiwan.
"Ia juga bebas dari unsur tahyul dan khurafat yang mana antara matlamat utama Silat Cekak adalah membersihkan unsur tahyul dan khurafat dalam silat Melayu.
"Oleh itu, Silat Cekak bebas daripada unsur-unsur yang bercanggah dengan ajaran Islam. Malah Silat Cekak mendidik saya menjadi manusia yang beriman kepada ALLAH melalui falsafahnya," katanya yang juga merupakan Naib Yang DiPertua PSSCM Cawangan Johor.
Ujar pemegang Sijil Rendah Silat Cekak itu lagi, pembangunan modal insan dan nilai murni Silat Cekak turut menjadikanya menerapkan nilai-nilai murni.
"Ketika mempelajari Silat Cekak, kita diajar mengamalkan budaya Islam yang sebenar menerusi program sambutan Hari Kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Nuzul Al Quran, Nisfi Sya'aban dan lain-lain lagi.
"Semua program ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli," katanya yang memberi tahu isterinya, Rosfazlina Zainuldin, 34, juga merupakan ahli PSSCM.
Sinar Harian, Artikel, Sabtu 8 Julai 2017, ms 38
oleh Azlina Othman