Maideen Kadir Shah (lima dari kiri) dan Ismail Abd. Muttalib (enam Maideen Kadir Shah (lima dari kiri) dan Ismail Abd. Muttalib (enam kiri) bergambar
bersama pesilat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam, Jengka, Pahang, semalam.

MARAN 25 Jan. - Seni silat cekak semakin po­pular dan menjadi pilihan penuntut universiti awam dan swasta sebagai aktiviti kokurikulum berkredit dalam pengajian mereka.

Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Datuk Maideen Kadir Shah berkata, seni silat berkenaan berkembang di kebanyakan institusi pengajian tinggi dan jabatan di negara ini de­ngan keahlian lebih 80,000 orang di seluruh negara.

Kata beliau, penglibatan aktif penuntut institusi pengajian tinggi dapat mengasah bakat dan semangat jati diri terhadap agama serta negara menerusi elemen insaniah yang diterapkan dalam kurikulum pengajaran silat berke­naan.

“Legasi persilatan yang diamanahkan kepada PSSCM diharap memberi satu kesan positif dalam usaha mendaulatkan semula seni mempertahankan diri di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

 “PSSCM akan terus memainkan peranan mendaulatkan seni silat ini,” katanya ketika berucap pada Kejohanan Waja Diri PSSCM Institusi Pengajian Tinggi dan Jemputan Kali Ketujuh di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam Jengka, di sini kelmarin.

Kejohanan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Mutta­lib yang turut dhadiri Rektor UiTM Pahang Kampus Jengka, Prof. Dr. Jamaluddin Kasim.

Menurut Maideen Kadir, PSSCM menghargai sokongan padu daripada kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam serta swasta bagi mengembangkan seni wari­san Melayu itu.

Tambah beliau, peluang me­nganjurkan program Rakan Muda dan Rakan Wajadiri di institusi pengajian tinggi dapat membantu mengimbangkan pembangunan negara dan pembangunan sosial selaras dengan Dasar Sosial Negara.

“Elemen semangat bersaing dalam aktiviti persilatan ini boleh diterjemahkan secara positif dalam bidang akademik, penyelidikan dan persekitaran pekerjaan,” katanya.

 

 

http://www.utusan.com.my/mobile/berita/wilayah/pahang/silat-cekak-jadi-pilihan-aktiviti-kokurikulum-1.436440

Joomla templates by a4joomla