MOHD. AZWARIN AHMED (dua dari kanan) dan Muhamad Rafi Kori (dua dari kiri) bersama dua anggota Terengganu Backpakers
berdiri di hadapan logo gergasi silat cekak di puncak South Peak, Gunung Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU 3 Okt. – Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Terengganu bersama Terengganu Backpackers berjaya merealisasikan Program Kembara Cekak Ke Puncak, baru-baru ini.
Mereka menghamparkan logo silat cekak di puncak Gunung Kinabalu sebagai suatu simbolik bahawa silat haruslah diangkat martabatnya di tempat yang tinggi, cerminan warisan, ketahanan jati diri, kekuatan bangsa dan maruah negara.
Ekspedisi pendakian ke puncak tertinggi Asia Tenggara itu mulai 26 hingga 30 September lalu dilakukan sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas Silat Cekak Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.
Cabaran diketuai oleh salah seorang tenaga pengajar PSSCM Cawangan Terengganu, Mohd. Azwarin Ahmed bersama pendaki Gunung Everest 2007, Muhamad Rafi Kori dan Hairy Helmi@Khairy Mustaffa serta Mohd. Ghazali Kori dari Terengganu Backpackers.
Menurut Mohd Azwarin, di penghujung perayaan jubli emas PSSCM, pihaknya mahu mengabadikan sambutan dengan cara berbeza setelah melakukan persediaan beberapa bulan lalu.
Logo gergasi yang dihamparkan itu direka khas dan dilukis tangan sendiri oleh ahli pasukan dengan bantuan warga Kampung Pulau Manis Serada
Sepanjang melaksanakan misi ini, ramai pendaki dari luar negara menyatakan kekaguman atas kesungguhan mereka yang turut memakai busana tradisional dan uniform rasmi silat cekak.
“Selain itu, anggota ekspedisi turut menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada salah satu keluarga malim gunung yang terlibat dalam tragedi gempa bumi Gunung Kinabalu pada 6 Jun 2015, di Kampung Kiau, Kota Belud.
“Dengan usaha kecil yang kami jalankan ini, diharap membantu memeriahkan acara Sambutan Perayaan Jubli Emas yang telah bermula awal tahun 2015 dan penutup perayaan dijangka pada bulan ini.
“Ia juga diharap dapat merangsang aspek ketahanan diri dan minda para penggiat dan pengamal silat, di samping sentiasa berfikir dan bertindak ke arah menyumbang apa jua yang positif kepada diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara,”ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/logo-gergasi-silat-cekak-di-puncak-kinabalu-1.390231#ixzz4kIZ55ZS2
© Utusan Melayu (M) Bhd