Impi Sertai Paralimpik [METROTV]
Zuhainy Zulkiffli
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Georgetown: "Saya tahu tidak mudah bagi orang kurang upaya (OKU) belajar silat, tetapi sekurang-kurangnya saya mencuba," kata Nurhidayu Abd Rahman, 23.

 

Keazamannya mendorong penuntut Ijazah Sarjana Muda Sastera (Geografi) Universiti Sains Malaysia (USM) itu berjaya menamatkan latihan asas Seni Silat Cekak baru-baru ini.

 

Nurhidayu berkata, dia yang kudung tangan kanan sejak lahir memang meminati seni mempertahankan diri ketika di bangku sekolah rendah lagi.

 

Anak kelahiran Pantai Remis, Perak itu berkata, sebelum ini dia tidak yakin dengan kemampuan diri selain malu hendak mengambil peluang bagi menyertai mana-mana seni mempertahankan diri.

"Ketika di semester pertama USM, ada rakan yang mengajak saya menyertai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) kerana dia tahu minat saya terhadap seni mempertahankan diri.

 

"Pada awalnya saya bimbang penyertaan itu akan memberi kesan kepada rakan lain namun tidak menyangka mereka sangat membantu, begitu juga jurulatih," katanya ketika ditemui di USM.

 

Menurut Nurhidayu, pada mulanya dia berasa sukar hendak mempelajari langkah silat yang diajar terutama yang memerlukan kekuatan tangan dan mengambil masa bagi mengikut rentaknya.

 

Katanya, selepas tamat latihan asas itu, anak sulung daripada tiga beradik ini sudah mula memasang impian mahu menyertai pertandingan atau acara seni mempertahankan diri kategori paralimpik.

"Ibu juga pada mulanya terkejut, namun akhirnya akur dengan minat saya cuma dia berpesan supaya melakukannya dengan bersungguh, bukan hanya sekerat jalan.

 

"Banyak yang saya pelajari selama tiga tahun menyertai seni silat ini selain dapat membentuk keyakinan diri dan kepada rakan OKU, jangan merendah diri kerana kita mampu dan perlu mencuba," katanya lagi.

 

Sementara itu, Penasihat PSSCM USM yang juga jurulatih, Prof Madya Dr Abdul Hafiz Ab Majid berkata, seni silat berkenaan sesuai dipelajari golongan OKU berikutan langkah pergerakannya yang mudah.

 

"Saya gembira melihat Nurhidayu yang kini tampak lebih yakin dan berani mencuba berbanding awal penyertaannya.

 

"Terdapat kira-kira 300 ahli PSSCM USM dan hanya Nurhidayu berstatus penuntut istimewa," katanya.

 

Disiarkan pada: Julai 19, 2021 @ 6:31am

 

Credit Harian Metro

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/732256/impi-sertai-paralimpik

Joomla templates by a4joomla