Sejarah Penubuhan Ko-kurikulum Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB), Johor Bahru

 

Pada tahun 2004 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) telah diterima sebagai aktiviti pelajar berstatus kelab di Kolej Jururawat Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Kejayaan ini adalah hasil usaha Saudari Raha binti Ahmad iaitu tenaga pengajar dan ahli dari Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Negeri Melaka yang menyambung belajar di kolej berkenaan. Hasil usaha beliau dan dengan kerjasama dari Yang DiPertua dan Ahli Jawatankuasa PSSCM CJDT ketika itu pihak Kolej Jururawat telah bersetuju menerima PSSCM sebagai aktiviti ko-kurikulum pelajar di kolej tersebut. Seramai 145 orang ahli telah mendaftar untuk belajar. Majlis ijazah yang pertama ini telah dilakukan oleh Yang Mulia Guru Utama Tuan Haji Ishak bin Itam bertempat di Dewan Makan, Kolej Jururawat Hospital Sultanah Aminah.

Seramai empat orang tenaga pengajar wanita (Puan Lailati binti Mohd Noh, Puan Radziah binti Abdul Razak, Puan Hamizan binti Hj. Abd Rahman dan Puan Sofea binti Ibrahim) telah ditempatkan untuk mengajar di kolej tersebut.

Sepanjang penglibatan Silat Cekak Malaysia di bawah Unit Ko-kurikulum aktiviti hanya melibatkan pembelajaran secara kuliah dan praktikal mengikut buah-buah pelajaran mengikut silibus pembelajaran Silat Cekak Malaysia. Kelas ko-kurikulum telah dijalankan pada setiap minggu iaitu pada hari Isnin bermula jam 8.00 malam sehingga 10.00 malam sepanjang semester berkaitan. Memandangkan jadual pembelajaran yang ketat bagi pelatih di Kolej Jururawat ini maka kelas hanya dapat dijalankan seminggu sekali sahaja. Kelas dijalankan bertempat di Dewan Makan Kolej.

Mulai pada tahun 2010 Kolej Jururawat telah berpindah ke Persiaran Kempas Baru, Johor Bahru dan telah bertukar nama kepada Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB), Johor Bahru, Johor. Maka kelas telah bertukar dan pelajar-pelajarnya juga lebih ramai kerana bukan hanya melibatkan pelajar jururawat tetapi ada juga pelajar dari jurusan pembantu perubatan dan pegawai X-ray. Maka kelas ini turut dibuka kepada pelajar lelaki. Seramai lebih kurang 20 orang kumpulan pelajar lelaki pertama yang telah mendaftar untuk belajar Silat Cekak pada sesi pengambilan Januari 2011.

Pada tahun 2012 kumpulan pelajar pertama seramai 8 orang pelajar wanita dan 5 orang pelajar lelaki telah berjaya menamatkan silibus pelajaran Silat Cekak Malaysia. Kumpulan pelajar ini telah berjaya menamatkan pelajaran kerana sistem pembelajaran di kolej telah berubah dan mereka mempunyai masa 3 tahun pengajian. Sebelum ini pelajar kolej hanya diberikan masa 2 tahun sahaja, maka agak sukar untuk mereka menamatkan silibus pelajaran Silat Cekak. Pada tahun 2015, Kelas Latihan KSKB telah mecatat sejarah apabila seorang pelajar, saudara Qusyairi bin Rahmat telah berjaya mengambil Ujian Sijil Rendah (USR) Silat Cekak dan menghadiri konvokesyen di Dewan Datuk Haji Maideen, Negeri Sembilan pada 6 Jun 2015.

Sehingga kini terdapat 2 orang pelatih sedang mengikuti kelas kemahiran, 11 orang di peringkat jatuh dengan di bantu oleh 6 orang tenaga pengajar. Kerjasama dari pihak kolej adalah sangat baik dan kami berharap agar kelas ini akan terus dapat bergiat aktif untuk kebaikan pelajar kolej.

Antara program yang pernah dijalankan adalah seperti:

  1. Program Pengambilan Ahli Baru
  2. Majlis Berbuka Puasa
  3. Majlis Pengijazahan
  4. Majlis Sambutan Hari Raya
  5. Majlis penangguhan kelas latihan
  6. Turut serta sebagai AJK di Kejohanan Wajadiri PSSCM

Diharapkan agar ahli-ahli Kelab Seni Silat Cekak di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Johor Bahru (KSSCM KSKB) akan terus berusaha untuk bersama-sama mendukung perjuangan PSSCM CJDT khasnya dan PSSCM amnya dibawah kepimpinan Yang Mulia Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah, Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.

Joomla templates by a4joomla