MENGIMBAS kembali album pengalaman di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, aku mula menuntut ilmu persilatan yang berasal dari Kedah ketika tahun pertama dengan pelajaran silat disampaikan kepadaku secara berperingkat-peringkat sehingga tamat.

Aku mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan sepenuh penghargaan kepada semua jurulatih Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia USM yang banyak mencurahkan ilmu, petua dan amalan bermanfaat sepanjang pembelajaran yang aku lalui di dalam kelas latihan.

Terima kasih juga kepada rakan ahli Silat Cekak yang teguh beriltizam dalam barisan perjuangan yang sama-sama digalas. Sebelum aku dan rakan-rakan memulakan latihan pertama Silat Cekak suatu waktu dulu, guru silat menerangkan maksud perkataan cekak dan asal usul Silat Cekak kepada kami. Antara pengertian perkataan cekak yang menarik ialah cekak yang disebut dengan bunyi cakak dalam bahasa Minangkabau bermaksud `gaduh'.

Oleh itu, Silat Cekak ialah silat yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri dalam pergaduhan, tetapi bukannya sengaja mencari gaduh. Pergaduhan bukanlah tujuan utama dan ia pilihan terakhir setelah rundingan dan usaha lain tidak berhasil.

Dalam sanubariku masih tersemat pesanan guru Silat Cekak: "Walaupun kita belajar ilmu gaduh, akhirnya kita tidak perlu bergaduh." Namun, Silat Cekak yang pernah digunakan oleh panglima di Kedah pada zaman silam ini boleh dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan diri dan maruah pengamalnya sewaktu memasuki medan pertempuran.

Sepanjang pengamatanku, Silat Cekak memang lain daripada yang lain kerana pengamalnya menunggu serangan dengan berdiri lurus tanpa berkuda-kuda. Berdiri lurus menghadapi seteru mempunyai tujuan dan rahsia tersendiri. Dari segi pertahanan, berdiri lurus lebih menguntungkan berbanding berkuda-kuda kerana faktor perhitungan masa sangat penting apabila menghadapi musuh.

Guru silatku menegaskan bahawa berdiri lurus tidak menampakkan diri pengamal Silat Cekak seorang yang ego, ganas, dan mencabar musuh, resmi padi semakin berisi semakin tunduk seperti segemal padi yang dapat dilihat pada lambang Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Berdiri lurus ialah pendirian orang yang memiliki pegangan hati iaitu bergantung sepenuhnya kepada Allah (iman) (Abdul Majid Ismail; 2007).

Didikan silat ini tidak mengajar ahlinya menceroboh kerana ia adalah sifat binatang, tetapi dididik dengan sifat keberanian yang juga sifat manusia yang murni. Silat Cekak mendidik ahlinya supaya tidak menyerang terlebih dulu dan mengutamakan akal fikiran yang waras dalam mengatur tindakan.

Namun begitu, dalam situasi yang bahaya dan jika keadaan cukup mendesak, pengamal silat ini akan mengatur langkah tempur demi mempertahankan hak dan maruahnya. Satu lagi keistimewaan Silat Cekak yang diterangkan oleh guruku ialah pengamal silat ini tidak akan berundur ke belakang dalam menghadapi lawan bahkan terus mara ke hadapan dalam gerak yang satu sambil menggunakan buah Silat Cekak yang kemas dan tangkas.

Setelah guruku menerangkan asal usul silat ini, aku berpendapat dengan mengkaji sejarah, barulah kita dapat menghargai sesuatu nilai warisan yang berharga. Sejarah telah merakamkan bahawa ketika tercetusnya peperangan menentang penceroboh pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II di negeri Kedah, Silat Cekak telah digunakan oleh panglima Melayu.

Kisah sejarah juga mencatatkan bahawa seorang panglima Batak yang ganas, gagah, dan kebal telah ditewaskan oleh ulama dan juga panglima Silat Cekak yang dikenali sebagai Panglima Ismail. Oleh itu kebijaksanaan dan keluhuran adab seorang ulama dan panglima ini seharusnya diambil perhatian oleh generasi muda hari ini ketika pelbagai krisis akhlak dan identiti sedang mencengkam masyarakat.

Ledakan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi serta serangan budaya asing yang terus-menerus melanggar adat dan adab ketimuran ternyata meletakkan maruah bangsa dalam situasi yang cukup membimbangkan. Justeru mahasiswa perlu bersedia dengan peta strategi dan senjata tindakan yang benar-benar ampuh untuk mendepani hakikat ini.

 

Muhamad Hisham Mohammad Lee

USM, Pulau Pinang

(Berita Harian, 14 Oktober 2010, ms 13 Nostalgia)

 

---

sumber - http://202.170.56.249/index.php/ms/kenali-usm/arkib-berita/67-papercutting-/7180-seni-tempur-warisan-panglima.html

Joomla templates by a4joomla