Penerapan Jati Diri Melalui Ilmu Bela Diri: Pendekatan Seni Silat Cekak Malaysia
Oleh: Prof. Madya Dr.Abdul Majid Ismail
Berita Cekak, Bilangan 2, Jun 2003
Prof. Madya Dr. Abdul Majid Ismail adalah merupakan Dekan Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan USM Pulau Pinang. Dalam PSSCM, beliau Penasihat PSSCM USM dan YDP PSSCM Cawangan Pulau Pinang. Di samping itu beliau adalah Pengerusi Jabatan Pusat-Pusat Pendidikan Tinggi PSSCM & Jurulatih Seni Silat Cekak Malaysia.
Kertas kerja ini telah dibentangkan di Persidangan Kebangsaan Kerja Sosial 2002, Anjuran Sekolah Pembangunan Sosial UUM, Hotel Legend Kuala Lumpur pada 13-15 Ogos 2002.
(Editor)
1.0 Abstrak
Akhir-akhir ini kita sering diperdengarkan dengan permasalahan kelunturan semangat sayang akan diri anak muda kita, lantaran ramai dalam kalangan anak muda yang terjebak dengan pelbagai bentuk gejala sosial dan keruntuhan akhlak. Bermacam-macam lagi budaya negatif yang merosakkan nilai ketimuran dan agama telah menjangkiti anak muda kita. Apa sahaja yang datang dari barat dan luar negara dianggap kemajuan dan perlu ditiru dan yang ada pada diri kita semuanya mundur, ketinggalan zaman, tiada bernilai dan perlu dibuang. Keadaan rendah diri tidak bertempat seperti ini merupakan satu bentuk penjajahan baru dan perlu dikaji puncanya agar kaedah pencegahan dapat dicari. Punca kepada keadaan ini memang banyak sekali, namun ketiadaan konsep sayang akan diri inilah merupakan punca utamanya. Kertas ini membincangkan tentang konsep dan elemen jati diri dan ketahanan diri yang ada di dalam Seni Silat Cekak Malaysia. Seni Silat Cekak sebagai wasilah yang telah sedia memiliki elemen jati dan ketahanan diri sekiranya dihayati oleh pengamalnya akan dapat membendung diri daripada dirasuk oleh elemen luaran yang negatif dan sebaliknya menerima elemen positif yang selari dengan kehendak agama Islam dan budaya Melayu kita. Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang selama ini bergerak mempertahankan budaya asli yang positif juga mempunyai peranan penting membantu kerajaan menangani kelunturan jati diri bangsa Melayu.
2.0 Pengenalan
Isu dan permasalahan kelunturan semangat sayang akan diri anak muda kita kini kerap diperbincangkan dan dipolemikkan, lantaran ramai dalam kalangan anak muda yang terjebak dengan pelbagai bentuk gejala sosial dan keruntuhan akhlak. Sebagai contoh, di bandar besar dan kecil malahan di kampung pedalaman sekalipun, anak muda kita ramai yang terlibat dengan perlumbaan haram setiap malam minggu. Nyawa dibiarkan melayang begitu sahaja seolah-olah tidak ada harganya lagi atau dengan kata lain "mati katak" telah menjadi sesuatu yang lumrah. Bermacam-macam lagi budaya negatif yang merosakkan nilai ketimuran dan agama telah menjangkiti anak muda kita. Apa sahaja yang datang dari barat dan luar negara dianggap kemajuan dan perlu ditiru dan yang ada pada diri kita semuanya mundur, ketinggalan zaman, tiada bernilai dan perlu dibuang. Keadaan rendah diri tidak bertempat seperti ini merupakan satu bentuk penjajahan baru dan perlu dikaji puncanya agar kaedah pencegahan dapat dicari. Punca kepada keadaan ini memang banyak sekali, namun ketiadaan konsep sayang akan diri inilah merupakan punca utamanya.
Gejala keruntuhan nilai ini sebenarnya tidak hanya tertumpu dalam kalangan anak muda, tetapi juga dalam kalangan generasi tua yang berpendidikan tinggi dan kurang berpendidikan, yang berpangkat dan tidak berpangkat juga yang berkuasa besar dan kecil. Penyalahgunaan kuasa dan rasuah umpamanya kerap melanda golongan "profesional" yang berpengaruh dan seterusnya mengakibatkan keruntuhan sesebuah institusi. Wang amanah simpanan rakyat juga boleh dengan sewenang-wenangnya menjadi sasaran penjenayah kolar putih. Keutuhan institusi keluarga juga tidak kurang tergugat oleh pelbagai anasir yang merosakkan dan tersasar dari landasan agama serta adat ketimuran. Ibu membunuh anak, anak membunuh ibu, suami mendera isteri, "haruan makan anak", pendidik dicederakan murid, budaya samseng di sekolah dan pelbagai cerita lagi telah mengejutkan kita. Pendek kata, keruntuhan dan kepincangan institusi-institusi serta individu yang dikepalai oleh orang yang dianggap boleh dipercayai ini amat merimaskan kita.
Kepincangan seumpama kelunturan semangat sayang akan diri dalam kalangan generasi muda dan krisis keruntuhan nilai dalam kalangan generasi tua perlu ditangani secara bijaksana. Semua pihak perlu berganding bahu dengan agensi yang bertanggung-jawab untuk mengorak langkah pencegahan dan pembanterasan demi untuk menyelamatkan bangsa kita. Penerapan nilai positif yang dianjurkan oleh agama (Islam) dan budaya timur (Melayu) ialah jalan penyelesaiannya. Penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk membendung keadaan ini. Perundangan juga boleh dimanipulasikan oleh orang yang pakar dalam undang-undang untuk melepaskan diri daripada hukuman terhadap kesalahan yang telah dilakukannya. Saya berpendapat, kaedah atau cara penerapan nilai-nilai positif untuk "ketahanan diri" secara tersusun perlu dilakukan secara formal menerusi saluran pendidikan dan secara tidak formal menerusi pelbagai wasilah. Ketahanan diri perlu untuk mengekalkan "jati diri". Dalam hal ini, pertubuhan ilmu bela diri yang memiliki ciri-ciri khusus pengekalan jati diri memang berperanan besar sebagai salah satu wasilah atau saluran penerapan nilai ketahanan diri ini.
2.1 Takrif dan Konsep
Untuk mengupas tajuk yang diberikan, konsep-konsep asas ini perlu ditakrifkan secara lebih mendalam. Saya berpendapat perkataan jati diri perlu lanjutan ungkapan seterusnya iaitu ketahanan diri. Hal ini sesuai dengan maksud asal makna perkataan dan matlamat seminar ini. Jati bermaksud asli atau tulen [1], sementara tahan pula bermaksud tidak berubah keadaannya atau tidak lekas rosak (luntur berubah dll.) [1]. Oleh itu, kita perlu tahu yang asli atau asal pada diri kita agar ia tetap kekal dan tidak rosak oleh sebarang anasir. Skop makna "diri" juga perlu difahami agar ia jelas. Konsep diri sekiranya diperluas skopnya merangkumi semua yang berkait dengan fizikal diri (zahir), iaitu keluarga kita, kampung kita, negara kita dan juga agama kita. Sekiranya dikaitkan pula dengan yang bukan fizikal diri (batin), ia merangkumi, maruah, harga diri dan pegangan hati kita. Orang yang memiliki ketahanan diri akan berupaya mengekalkan keaslian atau kejatian dirinya dalam sebarang situasi. Rajah 1.0 menggambarkan konsep jati diri dan pertahanan diri berdasarkan pendidikan menerusi Seni Silat Cekak Malaysia. Sistem pertahanan diri ini bertindak sebagai perisai yang dapat mengekal jati diri daripada di rosakkan oleh anasir luar di samping menapis dan membenar masuk pengaruh luar yang baik untuk diserap tetapi menangkis pengaruh luar yang buruk daripada meresap masuk.
Ilmu bela diri merupakan satu cabang ilmu (jasmani dan rohani) yang digunakan untuk menjaga diri secara bersistem. Kepada orang Melayu, ilmu bela diri dikenali sebagai silat atau gayung. Berdasarkan takrifan oleh Silat Cekak, silat bermaksud gerak bela diri orang Melayu. Gerak ini pada hakikatnya bukan kita punya tetapi dikurniai oleh Allah kepada hambanya. Oleh itu silat sebenarnya merangkumi kedua-dua aspek iaitu gerak zahir dan batin. Zahirnya perlu mahir dan batinnya pula kuat mentauhidkan Allah. Sejarah lampau telah membuktikan betapa silat Melayu telah menjadi wasilah di dalam menjaga agama, bangsa dan negara dari berbagai bentuk ancaman luar dan dalam. Sekiranya konsep dan falsafah asal silat ini dikekalkan dan diterapkan menggunakan kaedah moden, ia akan dapat menambat hati anak muda yang sememangnya dahagakan ilmu mempertahankan diri dan mengalami ketandusan aktiviti pengisian masa senggang mereka. Saya yakin pendidikan yang diterapkan menerusi Seni Silat Cekak Malaysia mampu menjadi salah satu elemen utama ketahanan diri dan seterusnya mengekalkan jati diri pengamalnya.
3.0 Pendekatan Silat Cekak
Konsep sayang akan diri dan nyawa (roh) serta penerapan semula nilai positif perlu kaedah yang bersesuaian dengan jiwa para remaja dan tidak pula menyinggung jiwa orang dewasa. Kaedah atau pendekatan yang kurang sesuai akan menyebabkan segala input akan ditolak atau ia tidak dapat menembusi benteng hawa nafsu. Sayang akan diri pula perlu kefahaman terhadap konsep kejatian dan ketahanan diri. Berdasarkan pengalaman saya berkecimpung dengan Silat Cekak selama hampir 25 tahun, terdapat banyak elemen pendidikan diri yang amat tinggi nilainya dalam silat ini. Elemen-elemen ini ada yang telah tersurat seperti mana termaktub di dalam pantang larang dan adat istiadat persilatan, perlembagaan PSSCM dan peraturan-peraturan bertulis Lembaga Pelajaran & Tatatertib PSSCM. Terdapat juga elemen yang tersirat yang diterapkan secara tidak langsung menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran, pergaulan guru dan murid, contoh dan teladan para pemimpin dan bimbingan serta didikan guru-gurunya. Pendekatan yang dikemukakan oleh Silat Cekak ini berupaya mendidik kita mengenali jati diri yang sebenarnya dan seterusnya menjadikan kita menghargai dan bertanggungjawab untuk menjaga kurniaan Allah yang ada pada diri kita.
3.1 Silat Cekak dan Konsep Jati Diri
Silat Cekak menjelaskan secara mendalam tentang konsep diri dan mengenal diri untuk mengenal pencipta-Nya. Kata Guru "Kenalilah dirimu rata-rata, baru kita kenal Tuhanmu yang nyata" [2]. Kata-kata ini selalu ditekankan agar kita tidak lupa diri dan sentiasa mensyukuri segala nikmat yang Tuhan kurniakan kepada kita serta dapat menghilangkan sifat ego. Para pemimpin silat ini juga sering menekankan bahawa mempelajari silat ini bukan untuk bermegah-megah tetapi semata-mata untuk menjaga diri. Dengan kata lain silat ini bertunjangkan akidah seperti mana jelas ternyata dalam dua daripada matlamat perjuangannya iaitu:
"Memberi pengertian tentang tujuan dan matlamat bersilat juga tujuan dan mengapa hidup serta matlamat sebenar hidup" [3 ].
"Menanam semangat dan roh Islam sebagai pegangan dalam menghadapi sebarang keadaan"[3 ].
Matlamat sebenar hidup seperti yang dijelaskan oleh Almarhum Ustaz Hanafi (pengasas PSSCM) selaras dengan yang dijelaskan dalam Al Quran:
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia, semata-mata untuk menjadi hambaKu".[Adz-Dzaariyat:56]
Tujuan utama Seni Silat Cekak menekankan konsep menjadi hamba Tuhan ialah agar kita sentiasa ikhlas dalam menjalankan tugas hidup kita. Sebagai panduan, Guru Utama PSSCM Y.M Tuan Haji Ishak Itam sentiasa menjelaskan tujuan bersilat seperti di dalam rangkap kata berikut:
"Kita bersilat bukan kerana silat, kita bersilat kerana agama.
Kita bersilat bukan kerana silat, kita bersilat kerana Allah" [4 ].
Di samping penjelasan tentang diri, Silat Cekak juga menjelaskan tentang komponen diri. Diri kita terdiri daripada dua komponen asas iaitu yang zahir dan yang batin, kedua-duanya perlu dididik agar ia seimbang. Tulisan "Muhammad-Ahmad" yang ditulis secara timbal balik pada lambang Seni Silat Cekak menggambarkan penekanan terhadap asuhan jasmani dan rohani seperti yang dimatlamatkan [13]. Perkara ini juga dijelaskan menerusi Pantun Cekak seperti berikut:
Silat Cekak Pada Lahirnya
Pengertian Gerak Pada Batinnya
Hendaklah Mahir Seluruh Anggotanya
Hendaklah Jujur Pada Jiwanya [6 ]
Di samping itu Silat Cekak juga menekankan agar kita menghargai nyawa yang Tuhan kurniakan kepada kita. Nyawa merupakan amanah Tuhan yang perlu dijaga. Ciri-ciri pendidikan diri ini dirangkumkan dalam sukatan pelajaran kelas teori dan amali Silat Cekak agar ia dapat difahami dan seterusnya diamalkan oleh ahli-ahlinya [7, 8].
Adat istiadat Melayu yang tidak bercanggah dengan akidah Islam dikekalkan dan dimajukan dalam perjuangan Seni Silat Cekak Malaysia. Perkara ini jelas dinyatakan dalam perlembagaan PSSCM iaitu:
"Memperkenalkan Seni Silat Cekak sebagai salah satu daripada kebudayaan warisan bangsa Melayu" [5].
Secara praktikal, tatasusila Melayu kekal dalam amali Seni Silat Cekak, misalnya tidak ada kaedah sepak-menyepak melebihi had atas pinggang digunakan. Orang Melayu menganggap menyepak ke arah kepala orang adalah "kurang sopan" Begitu juga menunjuk ajar menggunakan kaki juga tidak sesuai dengan budaya orang Melayu dan ia tidak digunakan dalam Seni Silat Cekak. Gerak-geri Seni Silat Cekak amat bersopan, tertib, tidak gelojoh, menggunakan tangan di tempat tangan, dan menggunakan kaki di tempat kaki; tidak menggunakan tangan di tempat kaki atau sebaliknya [9].
Pendekatan menerusi pantang-larang juga berupaya membantu ahli Silat Cekak mengenali jati diri dan mempertahankannya. Sebagai contoh, pantang larang Seni Silat Cekak yang kelima iaitu "Tidak boleh mencaci segala rupa Seni Silat Melayu asli yang lain", menjelaskan bahawa semua hak Melayu perlu dihormati. Mencaci silat dan budaya Melayu yang lain walaupun rendah mutunya bererti mencaci diri sendiri. Mencaci dan memfitnah merupakan tabiat buruk dan terlarang dalam agama kita yang perlu dihakis dan dihindari. Di samping penerapan secara amali tentang konsep sayang akan hak sendiri, penekanan terhadap kepentingan penggunaan bahasa dan peristilahan Melayu dan pengertiannya amat ditekankan. Perkara ini tergambar dengan jelas menerusi ungkapan pantun Seni Silat Cekak, kertas kerja dan ceramah pengasas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Almarhum Ustaz Hanafi Hj. Ahmad. Penekanan terhadap penggunaan istilah dan pengertian bahasa yang betul dan tepat amat penting agar kita mewarisi budaya ilmiah dalam ilmu persilatan [10]. Sebagai contoh, penggunaan nama "kelas latihan" bukannya "gelanggang" untuk tempat bersilat adalah bersesuaian dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang terdapat dalam Silat Cekak bukan bertarung atau bermain yang bersesuaian dengan penggunaan istilah gelanggang.
Satu lagi perkara yang tidak kurang pentingnya ialah bagaimanakah kita hendak mengembalikan semangat dan keyakinan bahawa bangsa kita juga memiliki khazanah budaya yang amat bernilai tinggi yang dapat membina tamadun ummah. Aspek budaya ini merangkumi juga aspek seni bela diri atau silat. Usaha dalam bentuk penerangan dan penjelasan tentang kebaikan dan kelebihan Silat Cekak memang kerap diadakan agar kita sayangkan warisan sendiri yang tinggi mutunya. Keyakinan terhadap mutu Seni Silat Cekak lahir menerusi kupasan secara ilmiah atau saintifik dan muzakarah ilmiah yang kerap diadakan. Konsep sayang akan diri akan membiak menjadi sayangkan budaya warisan sendiri seterusnya akan melahirkan jiwa patriotik yang sayang akan bangsa dan negara.
Oleh itu menerusi penjelasan di atas komponen jati diri dalam konteks perbincangan ini dapat disimpulkan menjadi dua perkara pokok iaitu:
1. Agama Islam (pegangan hati)
2. Adat-istiadat atau budaya bangsa (Melayu)
Kedua-dua aspek jati diri yang perlu diterapkan dan dipelihara dalam diri kita telah jelas diterapkan dalam Seni Silat Cekak. Untuk mengekalkan jati diri, kita perlu alat dan elemen untuk menerap dan mempertahankannya agar ia tetap kekal dalam diri walau apa jua suasana luarannya. Dalam hal ini, Seni Silat Cekak sekali lagi merupakan alat yang sedia memiliki elemen-elemen yang berupaya menjana ketahanan diri.
3.2 Komponen Ketahanan Diri Seni Silat Cekak
Banyak sekali elemen-elemen positif dalam Seni Silat Cekak yang berupaya menjadi benteng yang kukuh untuk mempertahankan jati diri. Sifat berani yang ditanamkan secara langsung menerusi sistem pelajaran Seni Silat Cekak adalah salah satu aspek penting dalam hal ini. Silat Cekak tidak mengelak ke kiri atau ke kanan tetapi mara ke hadapan menangkis serangan musuh dengan menggunakan 4 kaedah pelajarannya walau apa sahaja jenis serangan yang datang [11].
Silat Cekak juga menunggu serangan dengan tangan kosong walaupun musuh bersenjata, yang juga merupakan satu lagi latihan dan pendidikan diri untuk menjadi berani. Konsep berani ini amat penting sehingga ia dianggap sepenuh Iman [4, 12]. Kita tidak boleh takut selain Allah, malahan hantu sekalipun kita tidak boleh takut, kerana hantu juga makhluk Allah yang kena jadi. Menerusi penerapan konsep dan latihan ini, lahirlah ahli yang cekal hatinya dalam menghadapi musuh-musuh Allah yang nyata dan tidak nyata, sama ada dalam suasana aman atau tidak aman sekalipun.
Prinsip berdiri lurus ketika menunggu serangan musuh menggambarkan pendirian yang tetap atau tegas pendirian (pegangan hati). Berdiri lurus ialah pendirian asal manusia juga pendirian yang disuruh oleh agama Islam [4]. Berdasarkan kajian ilmu silat, kebanyakan ilmu bela diri sepakat memperakui bahawa berdiri lurus merupakan pendirian tertinggi atau pendirian peringkat guru. Kelebihan berdiri lurus daripada berkuda-kuda (gaya berdiri kebanyakan silat) semasa menghadapi serangan boleh dibuktikan secara ilmiah [13]. Pendirian betul ini amat penting khususnya apabila kita menghadapi suasana luar yang amat mencabar dan tidak menentu dewasa ini. Almarhum Ustaz Hanafi pernah mengungkapkan supaya kita mencontohi ikan dalam lautan:
"Ikan yang lahir dan tinggal di lautan tidak menjadi masin, perlu digaramkan juga apabila hendak digoreng".
Seterusnya Ustaz Hanafi pernah berpesan kepada penuntut-penuntutnya:
"Walau di mana sekalipun kita berada Tuhan itu tetap sama, Ia tetap melihat kita sama ada kita melakukan perbuatan baik atau sebaliknya".
Pegangan hati atau iman yang kukuh kurniaan Allah dan yakin bahawa kita ini sentiasa diawasi oleh yang empunya hak amat perlu kepada kita tidak kira di mana kita berada dan pada bila-bila masa. Penerapan konsep berdiri lurus dan kaedah tangkisan serta berpegang teguh terhadap falsafah "ikan di lautan" dan "Tuhan yang sa" merupakan pertahanan terkuat yang dapat mengekalkan jati diri kita.
Pantang-larang utama Seni Silat Cekak telah menggariskan beberapa prinsip utama yang dapat memperteguh kekuatan dalaman diri (roh) kita. Tiga pantang larang utama Seni Silat Cekak, iaitu tidak boleh derhaka kepada guru, ibu dan bapa ialah perintis kepada konsep mengenang jasa dan tatatertib dalam menuntut ilmu. Di samping itu, Roh kita perlu dicuci dengan mengingati dan memohon keampunan Allah di atas semua kesalahan seperti mana kita mencuci anggota lahiriah kita menerusi mandi dan bersabun. Konsep suci dan bersih adalah tuntutan agama, iaitu apabila roh kita bersih baharulah segala ilmu yang baik mudah diterima. Konsep menuntut ilmu dalam Islam pula perlu landasan seperti berikut:
"Tidak berilmu kalau tidak berguru. Berguru pula perlukan guru yang Mursyid lagi Sidik".
Oleh itu, inti sari taat kepada Guru ini ialah konsep "berkat" seperti mana ternyata dalam pantun Cekak berikut:
"Taat kepada Guru membawa berkat
Sedikit belajar banyak yang dapat
Jika menderhaka menjadi mudarat
Semua ilmu tiada yang lekat" [6]
Dengan berkat dan didikan guru, kita akan terhindar daripada melakukan kerja-kerja mungkar dan sifat buruk seperti khianat, rasuah, ego, berbohong dan sebagainya. Melalui gurulah kita akan dididik untuk mentaati Rasulullah dan Allah. Gurulah yang kita dapat lihat secara lahiriah untuk mendidik kita mentaati yang ghaib dan tidak terlihat menerusi mata kasar. Sementara kesan "keramat" dan "hikmat" kedua ibu bapa pula akan kita perolehi menerusi ketaatan kita kepada kedua-duanya. Penekanan terhadap perkara ini terkandung dalam rangkap Pantun Cekak yang berikut:
"Dua ibu bapa tak boleh derhaka
Besar jasanya kepada kita
Kalau derhaka bahaya menimpa
Di akhirat kita masuk neraka" [6]
Guru, ibu dan bapa merupakan tiga orang yang tidak memiliki sifat dengki dan senentiasa mengharapkan atau mendoakan kejayaan murid dan anak-anaknya.
Gerak silat merupakan pertahanan fizikal dan pendidikan yang diterapkan bersamanya merupakan elemen penting yang akan menjadi benteng pertahanan kuat pengekalan jati diri. Sekiranya prinsip ini dapat diikuti sepenuhnya, selamatlah semua generasi bangsa daripada segala masalah dunia dan akhirat.
4.0 Kesimpulan
Kupasan ringkas berkenaan konsep jati diri sebenar dan komponen utamanya iaitu agama Islam atau pegangan hati dan budaya Melayu yang positif perlu kepada pertahanan diri agar ia tidak pupus oleh pengaruh luar. Seni Silat Cekak Malaysia sebagai salah satu bidang ilmu dapat menjelaskan secara tepat komponen jati diri yang perlu ada dalam diri kita dan perlu dipertahankan. Seni Silat Cekak Malaysia yang telah dijelaskan juga memiliki elemen-elemen pendidikan yang khusus dalam sistem pelajarannya dan berupaya berperanan menjadi benteng atau pertahanan diri. Pendidikan dalam Seni Silat Cekak juga berupaya melahirkan anggota masyarakat yang sayang akan diri, agama, bangsa dan negara dan seterusnya menjadikan pengamalnya selamat di dunia dan di akhirat. Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia berperanan membantu membentuk ahli masyarakat yang mengenali jati dirinya serta berkeupayaan mempertahan jati diri ini. Oleh itu, kerjasama erat di antara badan-badan NGO dan agensi pemerintah yang dipertanggungjawabkan amat penting untuk menjamin keberkesanan pencapaian matlamat untuk membentuk bangsa Malaysia yang berjiwa patriotik.
5.0 Rujukan
1. Sheikh Othman Sheikh Salim. Kamus Dewan. Edisi 3. Dewan Bahasa & Pustaka. Kuala Lumpur. 1994.
2. Hanafi Hj.Ahmad. "Peranan Ulama Dalam Dunia Persilatan". Kertas Kerja Muzakarah Pendekar. UPM. 1985.
3. Hanafi Hj.Ahmad. "Keaslian Seni Silat Cekak Usah Diragukan". Dewan Masyarakat. 1973.
4. Ishak Itam. "Konsep dan Ciri Keagamaan Dalam Silat Cekak". Kursus Tenaga Pengajar Seni Silat Cekak. Island View Resort. Terengganu.4 Jun 1992.
5. PSSCM. Perlembagaan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. PSSCM. 1997.
6. PSSCM. Silat Cekak Dalam Suku Abad. PSSCM.1990.
7. Abdul Majid Ismail. "Kertas Kerja Ko-Kurikulum Kebudayaan Seni Silat Cekak Malaysia USM". 1991.
8. Hadzli Hashim. "Seni Silat Cekak di Pusat-Pusat Pendidikan". Kertas Kerja Seminar Penerangan Waja Diri PSSCM. UIAM. 1999.
9. Hanafi Hj.Ahmad. "Seni Silat Cekak Malaysia". Kertas Kerja Konvensyen Seni Silat Melayu Pertama. DKA. Universiti Sains Malaysia. 1973.
10. Abdul Majid Ismail. "Pendekatan Ilmiah Dalam Seni Silat Cekak". Panglima. PSSCMUSM. 1998.
11. Lembaga Pelajaran & Tatatertib (LPT). Buku panduan Mengajar Seni Silat Cekak Malaysia. 1 Muharram 1421 bersamaan 6 April 2000.
12. Hanafi Hj.Ahmad."Seni Silat", Suara Cekak. Bil.2. 1976.
13. Abdul Majid Ismail. "Silat Cekak Silat Akademik". Seminar Penghayatan Cekak. UIAM. 2000.