Pada 18 September 2015 yang lalu, telah berlaku satu detik yang bersejarah bagi warga silat di Malaysia. YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib telah mengisytiharkan Seni Silat sebagai Seni Mempertahankan Diri Rasmi Negara Malaysia.
Ini adalah satu perkara yang sangat penting bagi penggiat-penggiat silat tanah air dalam memartabatkannya. Ia dilihat sebagai ruang dan peluang yang dibuka seluas-luasnya untuk PESAKA membangunkan semua silat yang ada di Malaysia. Pastinya selepas ini, penggiat-penggiat silat tanah air perlu melakukan lebih banyak kerja bagi tujuan itu.
Setelah beberapa hari pengisytiharan ini dilakukan, banyak respon-respon negatif yang telah diterima oleh warga silat. Salah satunya adalah laporan akhbar Malaysiakini berkenaan kenyataan Sasterawan Negara iaitu A. Samad Said yang telah memberi takrifan sempit terhadap silat.
A. Samad Said dilaporkan oleh Malaysiakini telah memberikan takrifan baru kepada silat iaitu sebagai khazanah untuk dipertunjukkan sahaja bukan untuk mempertahankan diri lagi. Sebagai seorang yang mempunyai status sosial yang tinggi, walaupun pendapatnya dangkal pasti ada yang mengambil takrifan itu. Tetapi sejauh manakah rasional takrifan itu?
Penggiat-penggiat silat di pentas akademik telah melakukan pelbagai usaha dan kajian berkaitan dengan silat sudah bertahun lamanya. Jelasnya, takrifan dalam kajian-kajian ilmiah silat itu lebih luas daripada apa yang dinyatakan oleh A. Samad Said. Sebagai ahli sasterawan yang disanjungi masyarakat, kenyataan A. Samad Said ini seolah-olah menghasut masyarakat yang masih belum mengenali ilmu silat sebagai budaya orang Melayu. Ini pastinya menjadi racun yang akan membantutkan usaha memperkenalkan ilmu silat ke arah kebaikan dan kebajikan untuk masyarakat.
Silat adalah salah satu jenis ilmu mempertahankan diri yang diamalkan di seluruh masyarakat Nusantara. Bagi masyarakat lain, terdapat juga ilmu mempertahankan diri mereka masing-masing. Contohnya masyarakat Jepun dengan seni Aikido dan Samurai, masyarakat Cina dengan seni Kung Fu, masyarakat Korea dengan Taekwan Do, masyarakat India dengan Kalaripayat dan banyak lagi masyarakat yang mempunyai seni mempertahankan diri masing-masing. Ia telah wujud ribuan tahun lampau dan tercatat dalam lembaran-lembaran sejarah tentang kewujudannya. Sesetengahnya masih dikekalkan dan diterima oleh setiap masyarakat yang berkaitan malah dibanggakan pula.
Apakah fungsi ilmu seni mempertahankan diri ini sebenarnya? Adakah ia digunakan semata-mata untuk pergaduhan dan bermain senjata keris dan sebagainya? Definisi sebenar seni mempertahankan diri ini sangat luas. Tidak wajar ia disempitkan dengan takrifan yang dangkal.
Jika melihat kemajuan dan pembangunan ilmu seni mempertahankan diri, kita seharusnya melihat usaha yang telah dilakukan oleh bangsa lain. Contohnya di negara Jepun, Cina dan Korea. Mereka telah menginstitusikan ilmu seni mempertahankan diri mereka sebagai sebuah sekolah. Jika disebut sebagai sekolah, maka pasti ada kandungan ilmu yang diajar, iaitu disiplin. Kita boleh lihat sejauh mana seseorang manusia itu boleh pergi dengan didikan ilmu seni mempertahankan diri dari Cina. Anda pasti kenal orang-orangnya.
Pembelajaran seni pergerakan kaki dan tangan di sekolah-sekolah mereka adalah peringkat pertama pembelajaran ilmu mempertahankan diri mereka. Ia bukan sahaja berfokus kepada kesihatan jasmani, tetapi juga pembentukan sahsiah diri (disiplin) melalui peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Pembelajaran lanjutan pula melibatkan kefahaman dan falsafah kebijaksanaan dalam kehidupan mengikut acuan sekolah masing-masing. Secara keseluruhannya ia berpusatkan kepada moral dan akhlak. Maka, jelas dapat kita lihat ilmu seni mempertahankan diri bukan sekadar kepada ilmu pergaduhan, tetapi lebih tepat digelar sekolah yang membentuk keperibadian murni.
Begitu juga dengan silat. Ia merupakan sekolah akhlak. Kesemua guru-guru silat telah menggariskan pencapaian tertinggi dalam silat adalah keperibadian yang mulia. Ia adalah satu bentuk pembelajaran sepanjang hayat dalam membangunkan jasmani, emosi, rohani dan sahsiah diri. Apa yang menarik, sistem pembelajarannya tidak memerlukan buku tetapi bermula dengan latihan kemahiran pergerakan kaki dan tangan. Seperti seni bela diri lain, seni silat juga mempunyai disiplin-disiplin yang perlu dipatuhi oleh penuntutnya. Ia biasa dikenali sebagai pantang dan larang serta adat dan adab.
Kemudian pembelajarannya itu dikembangkan dengan pembelajaran lanjutan iaitu bab kefahaman dan falsafah kebijaksanaan. Perkara-perkara ini diajar secara berperingkat sesuai dengan fitrah manusia yang mempunyai tahap pemikiran yang pelbagai. Penuntut-penuntut tidak dikelaskan mengikut usia, tetapi mengikut hasil dari keperibadian mereka. Bukankah sistem pendidikan ini yang dicari-cari oleh Kementerian Pendidikan?
Agama memainkan peranan yang paling asas dalam pembelajaran semua seni beladiri. Kerana pembelajaran kefahaman dan falsafah kebijaksanaan adalah bersumberkan dari agama. Sebagai ilmu seni mempertahankan diri orang Melayu, silat juga telah diislamkan oleh tokoh-tokoh ulama terdahulu semasa kedatangannya ke alam Melayu. Ia telah digambarkan fungsinya dalam adat dan adab budaya Melayu dan silat sebagai sendi yang menghubungkan seluruh falsafah kehidupan orang Melayu.
Amat jelas, silat sebagai teras pembentukan budaya perlulah dikaji secara terperinci sebelum ia menerima 'hukuman' melulu oleh individu yang bukan ahlinya. Silat sebagai sebuah institusi pendidikan adalah satu fenomena baru yang mempunyai skop luas dan berfokuskan pendidikan pembangunan kemahiran insaniah. Mudah-mudahan dengan pengiktirafan yang telah diberi oleh pihak kerajaan, dapatlah institusi pendidikan silat ini sebagai alternatif dibangunkan dan dimurnikan semata-mata untuk membangunkan generasi yang lebih baik dari yang ada sekarang ini.
Oleh Mohamad Taufiq bin A Aziz
21 September 2015
PENULIS MERUPAKAN SEORANG WARGA PENDIDIK
YANG MENCINTAI SENI SILAT BUDAYA WARISAN BANGSA
KINI SEDANG BERTUGAS DI SMK BEKENU, MIRI, SARAWAK..