Ucapan YM Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad
Perayaan Menyambut 10 Tahun Cekak
Suara Cekak, Bilangan 2, Tahun 1976

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Yang Berhormat Dato' Mohammed bin Hj. Yaacob, Menteri Tenaga dan Teknologi Malaysia, dif dif yang dihormati, Ahli Ahli Jawatankuasa dan ahli-ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia seluruhnya.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Syukurlah kepada Allah, hari ini 28hb Disember 1975 genaplah sudah sepuluh tahun Silat Cekak dizahirkan semula ke alam nyata. Silat Cekak telah dilahirkan semula pada 28hb Disember 1965 bersamaan 5 Ramadhan 1385 dirumah En. Shafie Darus, batu 4¾ Jalan Gunung, Alor Setar Kedah, menerusi Badan PSSB Seri Kedah.

Sekarang ini, Silat Cekak telah menjadi Silat yang bertaraf Federal dimana pusat pergerakannya telah berhijrah dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.

Didalam mengalami proses perkembangan ini, Silat Cekak telah diancam dengan berbagai-bagai cabaran dan dugaan dari dalam mahupun dari luar. Pokoknya ancaman tersebut bertujuan hendak membunuh dan membantulkan pergerakkan dan cita-cita PSSCM.

Dari luar ada pihak yang tidak begitu bergembira dengan perjuangan PSSCM yang berazam untuk mendaulatkan kembali Seni Silat Melayu yang asli dan murni dan cita-cita untuk membenteras segala ilmu tahyul dan khurafat yang sedang bermaharajalela didalam silat Melayu hari ini.

Cita-cita diatas merupakan perjuangan utama Silat Cekak kerana memandangkan ujudnya unsur-unsur campur-aduk didalam Silat Melayu. Perbuatan ini seolah-olah suatu pengkhianatan yang halus dan nyata didalam usaha-usaha untuk memajukan kebudayaan Melayu. Disamping itu juga alam persilatan Melayu merupakan juga lubok peninggalan sisa-sisa kehinduan dan animisma yang bertentangan sekali dengan ugama Islam.

 

Jadi apa yang ingin diperjuangkan oleh PSSCM ialah untuk membanteras gejala-gejala tersebut dengan mengenalkan Silat Cekak disamping memberi fahaman kepada umum seberapa bolehnya manakah silat yang benar-benar secocok dengan aqidah Islam.

Berbagai-bagai fitnah liar telah dibuat terhadap PSSCM amnya dan kepada saya sendiri khasnya. Tetapi Insyah Allah segala-galanya tidak akan menjejaskan cita-cita persatuan ini. Kepada mereka ingin saya peringatkan sepotong ayat Al-Qur'an yang bermaksud:

"Boleh jadi yang kamu sangat benci itu adalah mempunyai kebaikan bagi kamu, boleh jadi pula apa yang kamu tersangat berkenaan itu memudaratkan bagi kamu."

Dari dalam persatuan pula terdapat segelintir manusia yang cuba meracuni ahli-ahli persatuan agar berpecah-belah dan cuba merampas teraju pucuk pimpinan dan guru utama. Perkara ini telah berlaku sejak dari Alor Setar, dimasa awal-awal lagi aktiviti Silat Cekak dijalankan hinggalah ke Kuala Lumpur ini.

Tetapi segala macam cubaan-cubaan mereka yang khianat itu telah tidak dapat sambutan dari para ahli PSSCM, sebaliknya mereka sendiri telah disingkirkan oleh ahli-ahli dan masyarakat sekitarnya.

Para hadirin yang dihormati sekelian, didalam mentadbirkan PSSCM ini sudah tentu banyak masalah yang perlu diatasi. Diantaranya masalah kewangan, perhubungan dikalangan ahli, pengurusan dan masalah dasar yang hendak dijalankan. Namun begitu, saya bergembira kerana segala masalah dan dugaan diatas dapat diatasi oleh pendokong PSSCM sendiri.

Saya yakin kejayaan ini tercapai justeru prinsip berdikari, kerjasama yang tidak bertingkat taraf yang diamalkan oleh seluruh ahli-ahli sekalian. Selain dari bantuan sebanyak $400 bagi tahun 1974 dan $1000 bagi tahun 1975 dari Kementerian Kebudayaan, tiada bantuan material dan moral yang pernah kami terima dari lain-lain pihak.

Didalam memperjuangkan dan memperkembangkan persatuan ini tuan-tuan dan puan-puan sekelian, terdapatlah mereka-mereka yang telah berkorban bersungguh-sungguh untuk persatuan. Untuk mengenang jasa-jasa dan kesetian mereka-mereka ini, buat pertama kalinya hari ini PSSCM mengurniakan Bintang-Bintang Berjasa dan Bintang Setia. Bintang-bintang ini adalah merupakan tanda penghargaan persatuan kepada pengorbanan mereka.

Hari ini juga Sijil Menengah dan Sijil Rendah akan diberikan kepada 115 penuntut yang berjaya didalam peperiksaan khas yang telah diadakan, dimana saya sendiri selaku Guru Utama menentukan samada mereka itu layak ataupun tidak. Sijil rasmi tersebut adalah menjadi bukti bahawa mereka telah mempelajari dan mahir didalam Silat Cekak. Pemberian sijil pada hari ini adalah merupakan peringkat yang pertama sahaja dimana sijil-sijil akan diberikan seterusnya dari masa ke semasa. Kami mengeluarkan sijil-sijil bukannya bengkong atau pun selepang adalah semata-mata untuk mengorak langkah bagi merintis jalan menjadikan silat Melayu setaraf dengan pelajaran akademik yang lain. Insya Allah, disuatu hari nanti wujud institut khas untuk Silat Melayu.

Hadirin yang dihormati, PSSCM adalah sebuah persatuan kebudayaan. Persatuan ini sanggup dan akan bekerjasama dengan mana-mana persatuan yang tidak berbau politik didalam usaha-usaha untuk mencapai dasar kerajaan yang ingin menjadikan Kebudayaan Melayu sebagai teras Kebudayaan Nasional. Sebaliknya pula, saya dan PSSCM tidak rela serta menyeru kepada semua pendokong-pendokong Silat Cekak buat masa ini ataupun dimasa yang akan datang supaya jangan mencampuri atau membenarkan persatuan ini dicampuradukan dengan politik. Perjuangan asal PSSCM adalah untuk mengembangkan, memperkenalkan pusaka nenek moyang kita yang benar-benar bernilai.

Sebagaimana lain-lain Persatuan para hadirin sekalian, PSSCM juga mempunyai beberapa prinsip dan polisinya yang tersendiri. Salah satu daripadanya ialah supaya semua pegawai-pegawai, ahli-ahli Jawatankuasa, Penasihat dan Penaung persatuan diambil atau dilantik dari mereka-mereka yang tahu, mahir dan beramal dengan Silat Cekak. Kami berkeyakinan bahawa dengan dasar ini sahaja kita dapat menentukan, bahawa yang mereka-mereka itu akan berusaha demi untuk menegakkan perjuangan Persatuan tanpa mempunyai tujuan-tujuan yang lainnya. Dengan ini juga pentadbiran Persatuan ini akan lebih berjiwa dan berjalan dengan selicin-licinnya.

Buat masa ini, kami berbangga bahawa semua ahli-ahli jawatankuasa persatuan ini terdiri daripada mereka-mereka yang telah mahir, cekap dan beramal dengan Silat Cekak. Sebaliknya, kami berdukacita sedikit kerana kami masih belum mempunyai penasihat dan penaung seperti ciri-ciri yang kami kehendaki diatas.

Kami juga menyedari bahawa PSSCM sekarang ini tumbuh didalam masyarakat pembandaran yang mempunyai 1001 macam tingkah-laku yang kebanyakkannya bertentangan dengan lunas-lunas ugama. Sementara itu, bidang silat ini adalah merupakan sesuatunya bidang yang diminati terutamanya oleh belia dan pemuda-pemuda. Justeru ini, PSSCM bukan sahaja berfungsi untuk mengembangkan Silat Cekak sahaja tetapi juga berfungsi untuk mendidik penuntut-penuntutnya yang terdiri dari berbagai lapisan supaya kembali kepada ajaran Allah dan Rasul. Dengan ini saja kami yakin ilmu mempertahankan diri dapat menjadi satu saluran pendidikan dan pembentukan akhlak dan dapat menentukan yang penuntut-penuntut Silat Cekak tidak menjadi garang dan suka menceroboh. Alhamdulillah, dengan taufik dan inayahNya usaha-usaha kami didalam membentuk peribadi penuntut telah mencapai kejayaan yang besar. Banyak diantara penuntut-penuntut yang telah berubah sifat asalnya menuju kepada sifat yang diredhai oleh Allah dan Rasul.

Disamping inisiatif diatas, kami juga ada menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan dan sukan dikalangan ahli-ahli persatuan. Dengan jalan ini diharapkan perhubungan yang lebih erat dikalangan ahli-ahli dapat dijalinkan.

Untuk memperlicinkan perjalanan usaha-usaha diatas Seksi Ugama, Kebajikan, Sukan, Ekonomi dan Kesenian telah dibentuk.

 

Alhamdulillah, pada hari ini Silat Cekak telah mula dikenali ramai. Dari ahli-ahli yang sedikit sekarang ini PSSCM telah mempunyai angka yang mencapai ribuan para ahlinya. Ahli-ahli tersebut terdiri dari berbagai-bagai lapisan. Banyak pula diantara terdiri dari bekas-bekas penuntut seni mempertahankan diri yang lain, samada seni mempertahankan diri dari luar mahupun dari dalam Malaysia, yang mereka-mereka ini mempunyai banyak pengalaman. Mereka-mereka ini disamping penuntut-penuntut Silat Cekak yang lain, sajalah yang dapat menjadi saksi tentang kebenaran dan konsep yang hendak dikemukakan oleh PSSCM kepada umum.

Kami juga berasa bangga kerana semua universiti-universiti dan institut-institut pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, dan Institut Teknologi MARA telah menerima konsep Silat Cekak. Sebagai bukti kelas-kelas Silat Cekak telah dibuka disemua pusat pengajian tinggi tersebut.

Walaupun nampaknya sebagai perkara kebiasaan sahaja, namun sebenarnya dengan penerimaan penuntut-penuntut tersebut menunjukkan yang Silat Cekak itu sesuatunya silat Melayu yang bermutu tinggi, yang sesuai dan boleh dikaji secara akademik dan saintifik yang mana dengan ini menyebabkan penuntut-penuntut yang bernas itu dapat menerimanya dengan mudah sekali.

Sebagai mengakhiri kata-kata saya ini, saya ingin merakamkan rasa terima kasih kami kepada Dato' Mohammed bin Hj. Yaacob yang telah sanggup mengorbankan masanya untuk datang menyaksikan dan merasmikan hari '10 Tahun Cekak' ini dan seterusnya kepada seluruh para hadirin sekalian. Diharapkan semoga PSSCM akan lebih berkembang lagi bagi masa yang akan datang dengan keazaman yang lebih gigih dan berdedikasi lagi untuk mencapai cita-cita kita yang suci murni ini.

Sekian. Harap maaf sekiranya terdapat kata-kata yang tersilap atau terkasar didalam ucapan saya ini.

 

Wassalam. 

Joomla templates by a4joomla