Kuala Lumpur: Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dan akhbar Harian Metro menjalin kerjasama dalam Titipan Kasih Harian Metro bagi program misi bantuan banjir khusus untuk mangsa banjir di Bota dan Lambor, Perak, hujung minggu ini.

Program pada Sabtu dan Ahad itu, bertujuan membantu lebih 1,000 keluarga mangsa banjir dari 13 kampung yang terjejas teruk akibat bencana itu.

Pengerusi Sambutan Perayaan Jubli Emas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Mohd Fizol Mohd Saad berkata, pihaknya bersimpati dan mahu turut serta menghulurkan bantuan atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan objektif persatuan sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas PSSCM yang dilancarkan di Menara Kuala Lumpur, 9 Januari lalu.

“PSSCM akan menghantar 70 orang ahlinya sebagai sukarelawan bagi membantu Harian Metro melakukan tugas mengagihkan barang bantuan serta kerja gotong-royong membersihkan kawasan yang terjejas,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM15,000 untuk melaksanakan program itu di pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Cek berkenaan disampaikan Mohd Fizol kepada Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Abdul Ghafar Ismail. Turut hadir Pengerusi Titipan Kasih Harian Metro Othman Mamat yang juga Pengarang Eksekutif (Edisi Hujung Minggu dan Rencana) Harian Metro, Timbalan Pengerusi 1 Jabatan Bina Insan PSSCM Nabil Mohamed Amin dan Timbalan Pengerusi 2 Jabatan Bina Insan persatuan itu, Ahmad Effendy Zailanudin.

Sementara itu, Othman berkata, misi dua hari itu membabitkan 130 sukarelawan terdiri daripada kakitangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, ahli PSSCM, Kelab Basikal Harian Metro (HMCC) dan Big Bike Riders.

Menurutnya, Harian Metro juga berterima kasih kepada orang ramai yang menghulur sumbangan menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima dan penghargaan kepada PSSCM kerana tampil menaja kos operasi misi bantuan yang dikelolakan oleh Titipan Kasih Harian Metro.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 9:35 AM
sumber - http://www.hmetro.com.my/node/25761

Joomla templates by a4joomla