Mesej jelas tolak tindakan biadap hina pemimpin, kaum, agama

MOHD. ALI RUSTAM (tengah) dan Mahaguru Muda Silat Lincah Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (k
MOHD. ALI RUSTAM (tengah) dan Mahaguru Muda Silat Lincah Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (kanan) memegang permit perhimpunan di Padang Merbok selepas mengadakan sidang akhbar mengenai Himpunan Rakyat Bersatu di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Maideen Kadir Shah (kiri). – UTUSAN/GHAZALI BASRI

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Tan Sri Mohd. Ali Rustam menegaskan pihaknya melarang sebarang tindakan berbau provokatif dalam Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok di sini pada 16 September ini.

Menurutnya, Pesaka selaku penganjur perhimpunan yang bertujuan menunjukkan solidariti orang Melayu itu juga tidak akan bertanggungjawab terhadap peserta yang melanggar undang-undang seperti dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Sebaliknya, Mohd. Ali menyeru agar semua pihak yang mahu menyertai Himpunan Rakyat Bersatu menjaga tatasusila masing-masing demi nama baik perhimpunan itu yang mendapat permit polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Inilah yang membezakan antara perhimpunan Bersih dengan Himpunan Rakyat Bersatu. Kita mahu buat secara aman dengan tidak menyokong mana-mana tindakan provokatif menghina pemimpin, kaum atau agama kerana ini adalah perhimpunan yang sah.

 “Perhimpunan ini bukan sahaja sebagai tanda solidariti orang Melayu tetapi kita juga mengalu-alukan bukan Melayu berhimpun bersama-sama. Ini sebagai tanda sokongan semua rakyat Malaysia menolak tindakan biadap menghina pemimpin,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di sini hari ini.

Perhimpunan yang diadakan pada Rabu ini bermula dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Silat Cekak Malaysia, Datuk Maideen Kadir Shah; Presiden Pertubuhan Silat Gayung Malaysia, Datuk Adi Wijaya Abdullah dan Ketua Penerangan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Mohd. Syahrir Abdul Aziz.

Ujar Mohd. Ali, dalam usaha menjaga keselamatan peserta, Pesaka akan menempatkan 3,000 ahlinya bagi membantu pihak berkuasa supaya perhimpunan itu berjalan dengan aman serta mencapai matlamat penganjuran.

“Antara matlamat penganjuran perhimpunan ini adalah bagi membuktikan bahawa Kuala Lumpur bukan tempat yang boleh dibuat sesuka hati tanpa mempedulikan undang-undang,” ujarnya.

Katanya, laluan yang terlibat dalam perhimpunan ini ialah Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Kinabalu, Bulatan Dato’ Onn, Jalan Putra, Jalan Kuching, Jalan Conlay, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak dan Jalan Parlimen.

 

 

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/hindari-tindakan-provokatif-1.136132#ixzz4kIqIaAqn

 

© Utusan Melayu (M) Bhd

Joomla templates by a4joomla