Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
15 Januari 2013 2:00 AM

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mengetuai lima penyandang yang mempertahankan jawatan masing-masing pada mesyuarat agung pemilihan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) kali ke-13 di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka.

Ketua Menteri Melaka itu menang tanpa bertanding bagi penggal kedua berturut-turut sejak 2010-12 dan kali ini, 2012-14 manakala Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din yang dipilih semula tanpa dicabar bagi penggal kelima.

Timbalan Presiden, Datuk Suhaimi Md. Shah dari Pahang dan dua Naib Presiden - Datuk Zubir Embong (Terengganu) dan Rosman Mat Deli (Persatuan Silat Cekak Malaysia) masing-masing menewaskan Datuk Adiwijaya Abdullah dalam pemilihan ketiga-tiga jawatan itu.

Suhaimi menang 46 berbalas 28 undi, Zubir dengan 44-22 sementara Rosman 39-30 ke atas pencabar daripada Gayung Malaysia itu.

Kata Megat Zulkarnain, mesyuarat tersebut turut mengumumkan kelulusan yang diperoleh daripada Pesuruhjaya Sukan untuk mendaftarkan semula semua pertubuhan silat negeri dan daerah ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) menurut Akta Pertubuhan.

"Semua perwakilan juga bersetuju bahawa alasan pemulangan mereka ke ROS ini ialah supaya silat tidak hanya dikenali sebagai badan sukan tetapi juga meliputi seni warisan budaya.

"Hanya Pesaka sebagai badan induk sukan silat negara yang akan kekal di bawah Pesuruhjaya Sukan menurut Akta Pembangunan Sukan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, semalam.

Kata beliau, sebuah gelanggang silat terbesar dunia bakal siap dibina pada Jun 2013 di Pulau Duyung, Melaka yang mampu menempatkan 5,000 pesilat pada sesuatu masa dan memiliki beberapa rumah yang bakal dinamakan sempena pahlawan silam Melayu.

Mengenai takwim silat olahraga 2013, katanya, Terbuka Belgium (Mei), Kejohanan Asia Tenggara di Hanoi (Ogos) dan sebuah kejohanan United Kingdom (Oktober) bakal menjadi pemanas badan pesilat negara menjelang Sukan SEA Naypyidaw, Disember ini.

"Selepas beroleh empat emas pada Kejuaraan Dunia tahun lalu, saya turut yakin kita mampu mengatasi pencapaian tiga emas Sukan SEA Indonesia 2011 dalam temasya di Myanmar pula," katanya.

 

 

 

Artikel Penuh:

http://www.utusan.com.my/sukan/ali-rustam-menang-tanpa-bertanding-presiden-pesaka-1.215961#ixzz4kInKldNH

 

© Utusan Melayu (M) Bhd

Joomla templates by a4joomla