PULAU PINANG 21 Jan. - Universiti Sains Malaysia (USM) akan menganjurkan Malam Pendekar bagi menyuburkan kembali seni persilatan Melayu di kalangan masyarakat hari ini.

Koordinator Bahagian Persembahan dan Protokol acara tersebut, Muhamad Khalis Iskander Shah berkata, program berkenaan yang menggabungkan pelbagai jenis seni silat akan diadakan selama sehari iaitu pada 6 Februari depan di Dewan Tunku Syed Putra di sini.

“Pelbagai acara menarik akan diadakan seperti forum mengenai silat, gendang muzik silat dan demonstrasi silat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhamad Khalis berkata, antara persatuan silat yang turut serta pada program itu ialah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia dan Persatuan Seni Silat Gayong Pusaka.

Katanya, program itu yang bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam akan dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya menyaksikan program itu dan mendaftar diri untuk menganggotai persatuan silat pada hari berkenaan.

“Kami juga ingin membetulkan persepsi masyarakat yang menganggap seni silat sebagai seni mempertahankan diri yang kolot dan terdedah dengan amalan tahyul dan khurafat.

“Pada program itu nanti mereka akan mendapat jawapan yang betul mengenainya,” katanya.

 

 

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pulau-pinang/usm-anjur-malam-pendekar-1.233515#ixzz4kIkcmo6f

 

© Utusan Melayu (M) Bhd

Joomla templates by a4joomla