BUKIT SENTOSA - Penglibatan remaja serta belia dalam seni mempertahankan diri dilihat usaha terbaik dalam membentuk disiplin diri.

Kebanyakan mereka menganggap mempelajari seni mempertahankan diri bukan sahaja mampu membentuk disiplin, malah dianggap satu keperluan dan menjadi pelengkap dalam kehidupan seharian.

Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu daripada golongan remaja dan belia yang memilih Silt Cekak sebagai ilmu bela diri mereka.

Seorang belia yang kini bergelar ahli tamat, Mohd Redzuan Sulaiman, 25, berkata, mempelajari seni mempertahankan diri atau silat bukan sahaja dianggap penyelamat tetapi dalam masa yang sama membentuk disiplin selain dapat mengisi masa terluang dengan aktiviti berfaedah.

"Tambahan pula, kaedah atau ilmu yang dipelajari dari Silat Cekak berbeza dengan seni mempertahankan diri yang terdapat di negara ini.

"Kaedahnya mudah difahami dan tidak memerlukan langkah kekuda atau bunga seperti seni bela diri lain," katanya yang mula menuntut ilmu ini akhir 2007.

Menurutnya, Silat Cekak tidak mengambil masa yang lama untuk dikuasai dan memerlukan komitmen berterusan sehingga mampu menguasai kesemua kaedah atau buah yang terdapat dalam seni tersebut.

Beliau juga mengakui sudah terlibat dengan beberapa demonstrasi besar yang dianjurkan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) yang turut membentuk keyakinan dirinya dalam mempertahankan diri.

Sementara itu, seorang penuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohamad Taufiq bin A Aziz berkata, mempelajari seni mempertahankan diri adalah satu keperluan kepada remaja, ditambah dengan kemampuannya membentuk imej diri yang positif.

"Silat Cekak contohnya, mempunyai kaedah pembelajaran yang agak unik dan memang berbeza daripada seni silat lain yang terdapat di Malaysia.

"Kaedahnya saja sudah memerlihatkan budaya Melayu dan Islam selain pergerakannya sekadar berdiri tegak tanpa kekuda atau bunga-bunga," katanya.

Menurutnya, kaedah yang dibentuk dalam Silat Cekak amat sesuai dipelajari dan mampu membentuk disiplin diri.

Beliau yang mula mempelajari seni bela diri itu sejak 2003 dan tamat 2005 mahu remaja memandang Silat Cekak dengan lebih terbuka dan tidak membandingkan seni itu dengan seni silat lain yang terdapat di negara ini.

Manakala seorang remaja dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa, Jamil Rosman menganggap penglibatannya dalam mempelajari seni pertahankan diri di usia muda sebagai keperluan mewarisi silat tersebut.

Menurutnya, Silat Cekak juga mampu membentuk disiplin selain melahirkan remaja berakhlak mulia.

"Pantang larang yang terdapat dalam Silat Cekak mendidik saya supaya lebih menghormati guru, ibu bapa dan tidak bermusuh dengan sesiapa lebih-lebih lagi sesama ahli," katanya.

Joomla templates by a4joomla