KOTA BHARU 30 Jan. – Sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Muzium Islam Kelantan di sini bertujuan menambah lagi daya tarikannya kepada pengunjung, kata Pengarah Perbadanan Muzium Negeri, Alimin Omar.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM800,000 disalurkan oleh kerajaan negeri manakala bakinya disalurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa).

Menurutnya, berikutan kerja-kerja pengubahsuaian tersebut, pihaknya telah menutup muzium tersebut kepada orang ramai.

‘‘Kerja-kerja pengubahsuaian sedang giat dijalankan dan dijangka dirasmikan pembukaannya pada Julai tahun ini oleh Sultan Kelantan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Parang Lading oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) kepada Perbadanan Muzium Negeri Kelantan di sini hari ini.

Setiausaha Agung PSSCM, Adnan Mat Dom menyerahkan senjata itu kepada Alimin dalam satu majlis ringkas di Istana Jahar yang merupakan Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan.

Parang Lading merupakan senjata rasmi persatuan itu dan pada asalnya ia adalah alat pertahanan diri bagi para panglima Kesultanan Kedah pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1854-1879).

Menurut Alimin, Muzium Islam Kelantan akan diwartakan sebagai monumen di bawah Akta Warisan pada tahun ini.

Katanya, bangunan muzium asalnya adalah kediaman bekas Menteri Besar Kelantan, Hassan Mohd Salleh (1900-1920).

Ia dibina pada tahun 1902 berasaskan gaya dan ciri-ciri bangunan rumah Melayu Kelantan-Patani model penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Katanya, Kelantan mempunyai enam muzium yang puratanya dilawati oleh 80,000 pengunjung pada tahun lalu.

Jumlah pengunjung dijangka bertambah kepada lebih 100,000 orang tahun ini melalui pelbagai promosi yang akan diadakan.

 

 

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/rm1-4-juta-naikkan-taraf-muzium-islam-kelantan-1.316211#ixzz4kIe2MmPC

 

© Utusan Melayu (M) Bhd

Joomla templates by a4joomla