Maideen Kadir Shah (duduk, dua dari kiri) dan isteri, Datin Roznida Ali Omar bergambar bersama
Reezal Merican Naina Merican (kiri) serta pemimpin-pemimpin Silat Cekak
selepas Istiadat Pertabalan Guru Utama Silat Cekak Ke-3 di Seremban, semalam. - UTUSAN/Abd Razak Aid

 

SEREMBAN 5 Nov. - Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) melakar sejarah baru dalam era perkembangan seni silat Melayu apabila menampilkan kelainan pada Sambutan Awal Muharam 1435H di ibu pejabat PSSCM Cawangan Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Sempena sambutan tersebut, PSSCM turut mengadakan buat pertama kalinya Istiadat Pertabalan Guru Utama Silat Cekak Ke-3 secara penuh tradisi dan budaya orang Melayu.

Istiadat pertabalan itu bertujuan mengisytiharkan secara rasminya kepada seluruh masyarakat dunia persilatan mengenai pemasyhuran Guru Utama PSSCM ke-3 oleh PSSCM di samping mengangkat martabat ilmu dan budaya seni silat serta melambangkan ketinggian akhlak dan peribadi orang Melayu yang sangat unggul.

Guru Utama yang juga Presiden PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah berkata, penganjuran majlis itu mencerminkan penyatuan budaya bangsa dan memberikan gambaran menyeluruh mengenai peradaban budaya Melayu yang agung suatu ketika dahulu, yang boleh dijadikan sebagai bahan tarikan pelancongan negara ketika ini.

Beliau berkata, penganjuran program itu boleh dijadikan sebagai panduan dan rujukan kepada badan silat yang lain untuk mengangkat martabat guru setaraf dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka.

"Semoga penganjuran ini boleh membuka mata badan pendiri silat yang lain agar mereka boleh menganjurkan majlis pertabalan yang sama mengikut rencah persatuan masing-masing," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan.

Majlis itu dihadiri kira-kira 2,000 orang yang terdiri daripada ahli PSSCM, wakil daripada badan pendiri silat dan orang awam.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga ahli PSSCM.

 

 

 

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Selatan/20131106/ws_05/Silat-cekak-tampil-kelainan#ixzz4kIZsRKoG

 

© Utusan Melayu (M) Bhd

Joomla templates by a4joomla