wu_01 : TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul
TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah)
berkenan bergambar bersama Maideen Kadir Shah (empat dari kanan) dan anggota PSSCM,
di UniMAP Pauh Putra di arau, Perlis, kelmarin. - BERNAMA

 

ARAU 22 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ilmu seni silat Melayu mendidik pengamalnya cara mempertahankan diri dan mampu menjadi pemangkin dalam membina masyarakat untuk mencintai negara.

Baginda bertitah, seni silat, yang mengajar pembentukan ketahanan dalaman, jati diri, disiplin, sahsiah, kesetiaan serta kecintaan terhadap nusa dan bangsa, mempunyai ciri yang diperlukan dalam mencapai tujuan itu.

"Dalam mendepani cabaran mendatang, ibu bapa wajar menggalak dan memastikan anak-anak mereka menguasai seni silat bagi melahirkan masyarakat Melayu yang menghargai asal-usul, bersatu, bertanggungjawab dan beradab.

"Mempelajari seni silat akan menjauhkan anak-anak daripada perbuatan negatif dan melatih mereka pula akan melahirkan golongan yang berprinsip, berkeperibadian mulia, yakin, berdisplin, berani, taat dan patuh kepada pemimpin," titah baginda.

Syed Faizuddin bertitah demikian pada istiadat persembahan Junjung Kasih Parang Lading Senjata Rasmi Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), yang merupakan anugerah tertinggi persatuan itu, kepada baginda di Kompleks Dewan Kuliah, Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Datuk Dr. Kamarudin Hussin, yang turut menerima anugerah daripada Guru Utama dan Presiden PSSCM Datuk Maideen Kadir Shah. - BERNAMA

 

 

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/perlis/silat-bina-masyarakat-cintai-negara-1.7121#ixzz4kIaVdT1m

 

© Utusan Melayu (M) Bhd

Joomla templates by a4joomla