Kontinjen pasukan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Teknologi Mara Pahang
kategori putera dan puteri meraikan kemenangan apabila dinobatkan juara di Tanjung Malim, baru-baru ini.

 

KUALA KRAU 11 Jan. - Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang muncul juara keseluruhan Kejohanan Waja Diri Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 1Malaysia Kali Keempat di Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini.

Dengan kemenangan itu, UiTM Pahang berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Kejohanan anjuran PSSCM Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membabitkan 48 pasukan dari 27 IPT dari seluruh negara itu diadakan di Dewan SITC UPSI pada akhir bulan lalu.

Lima kategori dipertandingkan iaitu Puteri, Senaman Cekak dan Buah Jatuh, Adegan Tempur Berpasangan, Adegan Umum Tangan Kosong serta Adegan Bermuzik.

Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Pelajar UiTM Pahang, Muhammad Mohktar Samat berkata, PSSCM UiTM Pahang menjuarai tiga kategori daripada lima kategori yang dipertandingkan sekali gus berjaya mengekalkan status kejuaraan yang dirangkul dalam kejohanan edisi ketiga pada 2009.

"Penglibatan PSSCM UiTM Pahang dalam kejohanan berbentuk ilmiah dan kepimpinan itu banyak memberi impak positif dalam usaha pembangunan modal insan di kalangan warga kampus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas meraikan kejayaan pasukan PSSCM UiTM Pahang di kampus universiti itu di Bandar Jengka dekat sini, baru-baru ini.

Kejohanan bertemakan Mahasiswa Berjiwa Insaniah itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Mohd Rustam selaku Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA).

Hadir sama Guru Utama dan Presiden PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah dan Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Zakaria Kasa.

Sementara itu, Ketua Jurulatih merangkap Penyelia Kelas Latihan PSSCM UiTM Pahang, Mohd. Irhan Ishak berkata, kemenangan tersebut merupakan hasil usaha gigih para peserta yang mempersiapkan kemahiran sebelum menghadapi kejohanan berkenaan.

"Saya berbangga dengan semangat waja peserta yang berjaya menerapkan nilai kerjasama dan semangat berpasukan dalam setiap sesi latihan sekali gus mencetuskan aksi cemerlang dalam kejohanan itu.

"Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan UiTM Pahang kerana banyak memberi sokongan padu dalam persediaan kami untuk menyertai kejohanan kali ini," katanya.

Selain itu ujarnya, sokongan padu pihak pengurusan universiti banyak menyuntik semangat untuk terus beraksi cemerlang mengharumkan nama PSSCM UiTM Pahang.

Bagi Ketua Pasukan, Noor Hanisah Borhanuddin berkata, pihaknya bertandang ke UPSI berbekalkan semangat kental dan iltizam untuk mengekalkan kejuaraan yang disandang dalam kejohanan di Kedah dua tahun lalu.

"Kami berazam meningkatkan usaha untuk mengekalkan status juara dalam kejohanan edisi kelima yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi akhir tahun ini," tegasnya.

 

 

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_03.htm#ixzz4kIbPLMML

 

© Utusan Melayu (M) Bhd

Joomla templates by a4joomla