Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Melaka turut mempamerkan kehebatan
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Melaka turut mempamerkan kehebatan bermain capteh.

MELAKA 17 Nov. - Permainan tradisonal atau dikenali sebagai permainan rakyat kini tidak lagi menjadi pilihan khususnya kepada genera­si muda setelah terdedah dengan kepesatan teknologi yang seolah-olah telah mengubah keseluruhan cara hidup masyarakat.

Jika dahulu, kanak-kanak menghabiskan masa petang mereka de­ngan pelbagai jenis permainan yang memerlukan pergerakan fizikal dan menguji minda kini golongan itu lebih banyak menghabiskan masa di hadapan komputer atau tablet untuk bermain permainan video.

Zaman kanak-kanak yang dilalui oleh generasi kini juga berbeza keseluruhannya apabila gelak tawa bersama rakan-rakan diganti de­ngan budaya ‘kera sumbang’ apabila mereka lebih banyak menghabiskan masa berseorangan dengan gajet masing-masing daripada bersosial bersama rakan seusia.

Ramai yang tidak menyedari bahawa permainan yang dicipta oleh nenek moyang terdahulu diadun dengan cukup baik yang meliputi pelbagai elemen dalam meningkatkan daya kreativiti, memupuk semangat berpasukan dan melatih kekuatan mental dan fizikal.

Bagi golongan kanak-kanak ma­sa kini, permainan batu seremban, congkak, galah panjang, teng teng dan gasing sudah semestinya asing bagi mereka dan golongan dewasa pula pasti ada di antaranya yang telah melupai permainan seperti sepak raga bulatan, capteh, raga ayam dan kelereng.

Menyedari hakikat itu, Perba­danan Muzium Melaka (Perzim) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Melaka tampil mempromosikan kembali permainan rakyat ini melalui Festival Sepak Raga Bulatan dan Sepak Bulu Ayam (Capteh) 2014, baru-baru ini.

Menariknya festival itu adalah acara permainan capteh yang merupakan permainan masyarakat dahulu yang telah dilupakan oleh masyarakat hari ini.

Menyingkap kembali sejarah permainan capteh, tiada tarikh khusus yang menyatakan bila permainan ini mula bertapak di negara ini namun daripada sejarah lisan dan kajian golongan pencinta seni budaya, capteh telah wujud di negara ini sejak sekian lama dahulu.

Di beberapa daerah di negeri Johor permainan ini dikenali dengan nama ‘sepak yem’ dan sangat digemari kanak-kanak lelaki sejak di bangku sekolah lagi.

Alat yang digunakan dalam permainan ini ialah serangkai empat helai bulu ayam yang diikat di atas sekeping kertas tebal atau sekeping getah yang berukuran dua inci garis pusat.

Cara permainannya juga seperti mana sepak raga bulatan yang memerlukan pemain menimbang bulu ayam dengan kaki dan yang paling banyak melakukan timbangan tanpa jatuh ke tanah akan dikira sebagai pemenang.

Sepak bulu ayam atau capteh ini boleh juga dimainkan berseorangan atau lebih seperti permainan sepak raga bulatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, usaha menjayakan festival tersebut menggambarkan betapa seriusnya kerajaan negeri dalam meneruskan tradisi memulihara warisan negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri sangat komited dan menyedari peri pentingnya memulihara warisan sama ada berbentuk warisan ketara atau sebaliknya melalui pelbagai pendekatan seperti seminar, bengkel, forum dan pertandingan.

“Usaha untuk mengetengahkan permainan tradisional ini diharap dapat diteruskan terutamanya da­lam kalangan anak muda berbilang kaum di negeri ini bagi memastikan kesinambungannya,” katanya.

Festival yang julung-julung kali diadakan itu juga telah mencatatkan sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) apabila berjaya mengumpulkan 1,500 peserta bermain capteh se­rentak dalam masa 10 minit.

Para peserta yang hadir juga adalah dari pelbagai lapisan ma­syarakat dan umur serta melibatkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan silat, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan dan swasta.

Permainan capteh ini juga sebenarnya juga popular di negara luar seperti Filipina, Singapura, Indonesia, Amerika, Kemboja, Sweden, Belanda dan beberapa buah negara lagi.

Biarpun nama permainan itu berbeza mengikut negara masing-masing tetapi kaedah dan konsep permainannya seakan-akan sama dengan capteh dan rupanya juga mirip capteh yang terdapat di negara ini.

Adalah menjadi satu kerugian jika permainan tradisonal atau permainan rakyat seperti capteh ini hilang ditelan zaman sedang kebanyakkan negara lain berusaha gigih mempopularkannya sebagai permainan rakyat mereka.

 

 

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/melaka/permainan-tradisional-capteh-jadi-tarikan-1.25885#ixzz4kIc1a3wK

 

© Utusan Melayu (M) Bhd

Joomla templates by a4joomla