IPOH – Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru yang bakal berlangsung esok mampu menjadi pemangkin kepada usaha memartabat seni silat dan senjata warisan Melayu.

Ketua Pengawai Eksekutif KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak), Dr. Ahmad Kamil Mahmood berkata, pihaknya melihat seni silat bukan sekadar ilmu pertahanan diri tetapi juga harta intelek berharga kepada negara.

“Setahu saya kita mempunyai lebih 2,000 cabang silat dan 245 senjata Melayu yang diwarisi sejak ratusan tahun dahulu, namun kesemuanya tidak pernah dipatenkan.

“Bagi KPerak, usaha untuk mempatenkan silat dan senjata warisan itu penting bagi menyemarakkan lagi perkembangan seni pertahanan diri warisan itu ke peringkat antarabangsa agar setanding dengan judo, karate-do dan taekwondo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama Pengarah kejohanan tersebut, Jak Othman di pejabat KPerak di Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC) di sini semalam.

Ahmad Kamil berkata, penglibatan KPerak dalam kejohanan yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar itu adalah langkah strategik ke arah usaha pempatenan tersebut.

Menurut beliau, pertandingan itu adalah peluang terbaik untuk mengenali lebih dekat seni bela diri Melayu kerana ia disertai wakil daripada persatuan silat terkenal dan terbaik negara.

Ujarnya, sebagai syarikat milik penuh kerajaan negeri yang berperanan membangunkan industri teknologi maklumat dan komunikasi di Perak, KPerak akan membantu pengedaran dokumentari digital berkaitan pertandingan itu ke peringkat antarabangsa.

 

 

 

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz4qP2zw8zz 

Hakcipta terpelihara 

Joomla templates by a4joomla